Kempen BMF Boikot atau Bantu Muslim?

share on:

Menjadi satu fenomena kempen Buy Muslim’s Product First atau dikenali sebagai BMF baru-baru ini. Gelombang kempen ini sudah melalui beberapa siri kempen sebelum ini yang akhirnya dijangka akan kembali reda selepas beberapa tempoh.

Namun adakah gelombang kempen kali ini akan berterusan atau akan lenyap semula ditelan masa. Pendekatan kempen kali ini sedikit berbeza apabila warganet seringkali menekankan bahawa usaha ini bukanlah untuk memboikot produk bukan Muslim atau bangsa selain Melayu.

Tetapi lebih kepada mengutamakan pembelian produk kepunyaan pengeluar Muslim tanpa mengira latarbelakang bangsa dan dijamin kebersihannya dari segi syariah.

Keadaan ini dipandang berbeza di peringkat jemaah menteri yang menjelaskan bahawa kempen ini adalah “pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara,” – menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri tempoh hari yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa Umno dan PAS mengecam kempen memboikot perniagaan bukan bumiputera.

Keadaan ini selepas melihat kedua-dua parti tersebut tidak kelihatan tegas dalam membasmi gejala boikot yang sedang menular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Presiden PKR Anwar Ibrahim juga menyifatkan kempen memboikot barangan bukan Islam sebagai satu langkah yang tidak sihat. “Kalau mahu promosikan produk halal, itu boleh diterima.

Tapi kalau mahu promosikan kempen yang boleh menimbulkan pertengkaran semacam ini, isu-isu antara kaum, ia tak sihat,” katanya kepada pemberita.

Namun kenyataan dan keadaan ini telah disangkal oleh Pengerusi Angkatan Perpaduan Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya,

“Ummah kecewa dengan kenyataan beberapa ahli politik yang mengaitkan (kempen) dengan isu perkauman, agama, dan parti politik.

“Kami ingin tegaskan kempen ini bukan untuk memboikot produk pengusaha lain, dan tiada kena-mengena dengan parti politik pemerintah ataupun pembangkang,” katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur tempoh hari.

Aminuddin berkata lagi, kempen Ummah bertumpu kepada mempromosikan produk makanan keluaran Muslim kerana menurutnya “banyak produk yang diragui (status) halalnya”.

“Ini membuatkan orang Islam rasa tak selesa kerana makanan yang digunakan boleh menjejaskan ibadah mereka,” katanya lagi.

Kempen ini juga disokong oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menjelaskan berkenaan kempen ini untuk membantu ekonomi sesama Muslim, bukannya kempen memboikot barangan bukan Islam.

Menurut beliau, meski pun terdapat beberapa ahli politik yang dikaitkan dengan sikap anti-Muslim, tetapi hal memboikot barangan bukan Islam bukanlah satu seruan yang bijak.

Namun tidak dapat dinafikan di media sosial, terdapat gerakan berkumpulan yang agresif berkempen agar golongan Bumiputera memboikot produk yang dihasilkan oleh bukan Bumiputera.

Beberapa NGO juga tampil menyeru memboikot produk halal yang dihasilkan oleh bukan Islam.

Oleh itu, perlunya kempen ini terus dimurnikan objektifnya agar salah faham dapat diselesaikan dan memberi kebaikan kepada semua pihak tanpa melibatkan sentimen perpecahan bangsa dan agama.

Leave a Response