Anwar akan bertemu Dr M bincang isu hukuman Wan Ji

share on:

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman penjara setahun di bawah Akta Hasutan yang dikenakan terhadap penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan hukuman terhadap Wan Ji sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran.

“Saya akan merujuk perkara ini dan akan dibincangkan dengan perdana menteri.

“Hari ni tak mahu ganggu (Dr Mahathir) sebab kita nak ucap selamat hari jadi dan ulang tahun, nak dia tenang dan gembira,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Semalam, Wan Ji mula menjalani hukuman penjara selepas mahkamah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap Wan Ji, dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah

Namun, beberapa pihak dan badan hak asasi mengkritik hukaman itu, dengan Suaram menggesa Peguam Negara Tommy Thomas memberi penjelasan.

Peguam Syahredzan Johan pula mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan yang membuat rayuan bagi hukuman lebih berat dalam kes mahkamah melibatkan Wan Ji.

Bagaimanapun, Anwar hari ini enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai peranan peguam negara dalam kes tersebut.

“Cukup setakat itu, jelas,” jawabnya ringkas.

Terdahulu, sewaktu sidang media di parlimen, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji kesesuaian penggunaan Akta Hasutan.

“Hukuman itu terlalu berat. Keduanya, kita kena tahu konteks. Kita harus jaga sistem raja perlembagaan.

“Tetapi kita juga tahu bahawa ruang itu harus diberikan walaupun terbatas dan PH konsisten menolak undang-undang yang kejam.

“Jadi saya tentulah melahirkan rasa tak puas hati dengan pendakwaan keputusan hukuman yang drakonian,” kata Anwar.

“Kami juga menggesa kerajaan pesekutuan untuk menyegerakan pemansuhan Akta Hasutan supaya perlanggaran hak sebegini tidak lagi berulang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan kerajaan Johor yang menukar pendirian beberapa kali sebelum akhirnya mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun, Anwar yakin bahawa Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mendapat penjelasan berhubung isu berkenaan.

Anwar juga berkata beliau tidak maklum sama ada keputusan kerajaan negeri berhubung isu itu dipengaruhi oleh pihak istana Johor.

“Itu (khabar angin) saya tak dengar khabar. Usah buat telahan, selesaikan dengan baik,” katanya.

Pemuda PH gesa mansuh Akta Hasutan

Dalam perkembangan isu hukuman terhadap Wan Ji, Pemuda PH dalam kenyataan media hari ini melahirkan rasa kebimbangan terhadap hukuman berkenaan.

“Kami difahamkan bahawa hukuman yang telah diputuskan juga adalah terlalu berat dan tidak mengikut kecenderungan hukuman denda yang selalunya disabitkan di bawah Akta Hasutan,” katanya.

Pemuda PH turut mengingatkan janji ke-21 manifesto PH untuk memansuhkan semua akta zalim, termasuklah Akta Hasutan 1948 demi kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, kami mendesak pihak pendakwa raya untuk segera memberi penjelasan mengapa pihaknya mahu hukuman yang lebih berat ke atas Wan Ji yang jelas bertentangan dengan dasar kerajaan PH mengenai akta yang zalim ini.

https://www.malaysiakini.com/news/483228

 

Leave a Response