Belia Dikalangan Sahabat Rasulullah Yang Menyertai Peperangan

share on:

Secara asasnya, Islam melarang anak-anak yang belum akil baligh terlibat dalam peperangan. Namun, terdapat dalam kalangan sahabat r.a yang umurnya masih kecil, dibenarkan menyertainya disebabkan beberapa perkara. Antaranya, mereka melepasi ujian fizikal yang diberikan. Sparing, mengangkat pedang dan lain-lain. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang merayu-rayu dan bersungguh-sungguh meminta lalu diizinkan oleh Nabi saw.

PERANG BADAR

1. Mu’az bin Amru (14 tahun) dan Mu’awwiz bin Afro (13 tahun). Kedua beradik ini berganding bahu menjatuhkan Abu Jahal dari kudanya yang disaksikan oleh Abdul Rahman bin Auf, kemudian datang Abdullah bin Mas’ud menamatkan riwayatnya.

2. Umair, adik kepada Sa’ad bin Abi Waqqas (16 tahun) menyertai dan syahid dalam peperangan Badar. Beliau menyorok khuatir dilihat oleh Rasulullah kerana tahu tidak akan diizinkan untuk ikut sama berperang. Tetapi beliau merayu-rayu tanda kesungguhannya, lalu diizinkan. Bahkan, pedangnya dibawa oleh Sa’ad kerana beliau tidak kuat membawanya sendiri! Takdir Allah, Umair bin Abi Waqqas tersenarai dalam 14 Syuhada’ Badar.

3. Harithah bin Suraqah (tidak dipastikan umurnya), terbunuh kerana terkena anak panah sesat. Ibunya Ummu Ar Rubayyi’ binti Al Barra’ khuatir adakah anaknya mendapat ganjaran syahid atau tidak, lalu bertanya

“Wahai Nabi Allah, tidakkah engkau memberitahuku tentang nasib Harithah, dia terbunuh kerana terkena anak panah sesat dan tidak diketahui pelakunya. Jika dia disyurga, maka aku bersabar, dan jika tidak di syurga aku amat menyesalinya”. Lalu Baginda saw bersabda

“Duhai Ummu Harithah, ada beberapa syurga dengan darjat kemuliaan yang berbeza. Sesungguhnya anakmu beroleh syurga Firdaus, syurga yang tertinggi darjatnya”.

4. Sa’ad bin Khaithamah, ketika mahu berjihad membuat undian bersama ayahnya kerana tidak mahu ketinggalan merebut pahala jihad, akhirnya Sa’ad terpilih dan beliau gugur syahid.

PERANG UHUD

Rafi’ bin Khadij dan Samurah bin Jundab. Keduanya berusia 15 tahun. Keduanya diizinkan selepas dimaklumkan mereka hebat ketika latihan bermain pedang. Dikatakan kepada Nabi saw “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Samurah pernah megalahkan Rafi’.” Lalu diizinkan kedua berperang.

PERANG KHANDAQ

Usamah bin Zaid, Abdullah bin Umar, Zaid bin Tsabit, Al Barra’ bin Azib, Amr bin Hazm, Usaid bin Dhuhair. Kesemua anak muda ini meminta untuk berperang ketika perang Uhud, tetapi tidak diizinkan oleh Nabi saw, kemudian kesemuanya dibenarkan bersama Nabi saw dalam perang Khandaq selepas genap 15 tahun.

Nabi saw pernah bersabda “Setiap para Nabi memiliki Hawariy (pendokong setia) dan Hawariyku adalah Az Zubair” (HR Muslim). Az Zubair merujuk kepada Zubair bin Al Awwam.

PERANG YARMUK

Abdullah bin Zubair, anak kepada pasangan Zubair bin Awwam dan Asma’ binti Abu Bakar. Mula menyertai peperangan ketika usianya 12 tahun.

Abdullah bin Zubair termasuk dalam kalangan Empat Abdullah yang menghafaz Al Quran.

REALITI HARI INI



Apabila menyentuh aspek jihad dan syahid pada hari ini, terus sahaja kita dibayangi dengan persoalan teroris, ganas, dan keras. Apatah lagi persoalan anak kecil yang terlibat dengannya. Tidak dinafikan, naratif menolak keganasan suatu yang penting, namun yang menjadi malang ialah apabila ia dibariskan dengan jihad dan syahid secara sembrono.

Salahfaham terhadap jihad mesti dibetulkan, dan meninggalkan ajaran jihad kepada anak-anak juga menjadikan jiwa mereka rapuh dengan Islam.

INTIPATI DIDIKAN ANAK MUDA

Yang menjadi keutamaan adalah kandungan ajaran terhadap anak-anak. Ia bukan semata-mata persoalan usianya. Mengubah had umur belia tetap tidak mengubah apa-apa kecuali merubah isinya. Yang penting, usia yang ada digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya.

Sebab itulah, Allah amat suka kepada anak muda yang usianya dimanfaatkan untuk agama hingga mendapat naungan Arasy Allah. “Seseorang anak muda, yang membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah (iaitu usia mudanya hanya melakukan ketaatan).

Benarlah kata saidina Umar Al Faruq:
“Islam akan menjadi mulia, tatkala anak-anak muda sahaja sudah berani membela kehormatan Islam”.

Mohd Adlan Mokhtaruddin
08 Julai 2019

Leave a Response