Tidak Bela Penjenayah Tapi Belum Dibuktikan Bersalah : Isu Bakar Kereta Mufti Perlis

share on:

TIDAK BELA PENJENAYAH TAPI BELUM DIBUKTIKAN BERSALAH

PRINSIP-PRINSIP DALAM ISU BAKAR KERETA MUFTI PERLIS

✳1. DALAM SIASATAN

Kes masih dalam siasatan. Anggota amal ditahan bagi membantu siasatan. Belum dibuktikan bersalah. Sikap terus meletakkan kesalahan kepada individu terbabit adalah satu bentuk propaganda media yang tidak beretika. Banyak digunakan untuk memburukkan Islam. Tuduhan rambang dimainkan secara meluas sehingga orang percaya walaupun tanpa bukti.

Seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Innocent until proven guilty. Salah satu kaedah fiqh menyebut:
الأصل براءة الذمة
Asal setiap sesuatu adalah tidak bertanggungjawab/tidak bersalah.

✳2. PRESIDEN PAS TIDAK ADA KENA-MENGENA

Mengaitkan orang lain yang tiada kaitan langsung dengan kes kerana hubungan mereka dengan suspek adalah satu tindakan tidak bermoral. Sikap ini adalah satu bentuk asobiyah jahiliah. Bila seorang bersalah, satu kabilah akan diperangi. Ia juga satu method musuh Islam dalam merancakkan fitnah Islamophobia. Seorang Islam mengganas, seluruh penganut Islam dilabel teroris.

Firman Allah SWT:
مَّنِ ٱهۡتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهۡتَدِي لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولٗا
Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).
[Al-Isra’, Ayah 15]

✳3. BUKAN TARBIYAH PAS

PAS tidak pernah mengajar anggotanya dengan keganasan. Konsep perjuangan PAS dalam menegakkan Islam di Malaysia adalah muwajahah silmiyyah. Ahli PAS ditarbiyah agar tidak melawan walaupun diseksa dan ditekan. Peristiwa Memali menjadi saksi, anggota PAS tidak bertindak balas walaupun pemimpin mereka terbunuh syahid di muncung senapang penguasa.

Rela syahid berbanding mengangkat senjata menentang kerana ia ajaran Islam. Sabda Rasulullah SAW:
سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ ، وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ ، فَقَتَلَهُ
Penghulu syuhada di hari kiamat adalah Hamzah bin Abdul Muttalib dan lelaki yang berdiri dihadapan pemimpin yang zalim, maka dia menyuruhnya (maaruf) dan melarangnya (mungkar), lalu dia dibunuh.
[HR Al-Hakim]

✳4.JANGAN GENERALIZE ISU

Sekiranya ada keganasan yang dilakukan oleh ahli PAS, ia bukan daripada ajaran PAS. Ia ajaran sesat daripada syaitan yang menyelinap di mana-mana. Maka tidak boleh menyalahkan PAS. Begitu juga jika terdapat apa-apa kesalahan dilakukan oleh anggota PAS samada melibatkan korupsi, penyelewengan, penipuan atau keganasan. Ia bukan daripada manhaj tarbiah PAS.

Kesalahan individu tidak ada kena mengena dengan agama, kaum atau organisasi. PAS berusaha mentarbiyah anggota dengan seluruh ajaran Islam. Antaranya sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ: دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ
Haram terhadap orang Islam menjejaskan orang Islam lain dari sudut darah, harta dan maruahnya.
[HR Muslim]

✳5.SILA HUKUM JIKA BENAR BERSALAH

PAS tidak akan membela penjenayah sekiranya dibuktikan benar-benar bersalah. Sabda Rasulullah SAW:
وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
Demi Allah, jika Fatimah binti Muhammad (SAW) mencuri maka akan aku potong tangannya.
[HR Bukhari & Muslim]

Membela penjenayah adalah satu bentuk ajaran Asobiyyah Jahiliyah. Sabda Rasulullah SAW ketika ditanya apakah maksud asobiyyah:
أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ
Kamu membantu kaummu (kumpulanmu) dalam urusan kezaliman.
[HR Abu Daud]

✳6.BAHAYA ADMIN MEMPERGUNAKAN FB TOKOH

Sebagaimana kita tidak setuju mengaitkan Presiden PAS dalam isu ini, kita juga tidak setuju mengaitkan posting admin page Dr MAZA dengan diri beliau. Sementelah Dr MAZA telahpun meminta maaf atas ketaksiran adminnya sehingga menimbulkan polemik.

Saya sendiri banyak berbeza pandangan dengan Dr MAZA. Tetapi ia tidak membolehkan saya menyalahkan beliau dalam semua perkara yang berlaku. Adil itu wajib dalam setiap keadaan. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[Al-Ma’idah:8]

Nasihat saya, Dr MAZA perlu mengambil tindakan terhadap admin agar perkara sama tidak berulang. Itulah bahana admin yang mempergunakan fb tokoh sewenang-wenangnya. Walaupun jelas ditulis [admin], tetapi tahinya tetap terkena kepada pemilik akaun.

✳7.APA KHABAR BPMS?

PAS mengajak semua rakyat mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS). Salah satu kriteria BPMS adalah politik damai dan diplomasi. Selain daripada ahli PAS dididik supaya mengutamakan jalan damai dalam berhadapan dengan pihak luar, PAS turut mengajak semua anggota parti lain dan orang awam untuk turut melaksanakan BPMS. Sebagaimana PAS boleh berBPMS dengan Umno, PAS juga boleh berBPMS dengan PH, kerajaan pusat dan semua pihak.

Tinggalkan politik kebencian dan keganasan. Tolak politik penipuan dan persepsi. Abaikan politik pentingkan diri. Hindari politik populisme dan oportunistik. Jauhi politik yang tidak rasional dan profesional. Selamat datang BPMS.

✳8.PAS DAN TRANSPARENCY

Sebagai kerajaan menanti (government in waiting), PAS sedia untuk disiasat, diaudit dan diperiksa bila-bila masa. Presiden dan ramai pimpinan lain mengalu-alukan semua pihak untuk menilai sendiri parti ini. Bukan dalam isu mufti Perlis sahaja, bahkan bagi semua isu-isu berbangkit lain. Biar semua lihat ketelusan dan kelayakan PAS untuk menjadi sebuah parti peneraju kerajaan yang telus dan amanah.

Saidina Umar sendiri diaudit secara terbuka dihadapan awam. Sewaktu berkhutbah, beliau telah diminta menjelaskan mana datangnya kain jubah yang dipakai ketika itu. Saidina Umar menjelaskan dengan baik tanpa memarahi orang yang menyoal. Menunjukkan Islam mendahului ideologi moden dalam bab transparency.

✳9.PAS JUGA MAKHLUK ALLAH

Walaubagaimanapun, perlu dinyatanan bahawa PAS bukanlah parti yang maksum. Selain Allah, semua adalah makhluk yang memiliki kekurangan termasuklah PAS sebagai sebuah parti. Selain para Anbiya’, tidak ada manusia yang maksum termasuklah parti dan anggota PAS. Justeru PAS sedia menerima teguran dan sedia untuk berubah sekiranya benar-benar ada ketaksiran.

Walaupun Islam adalah agama yang sudah sempurna, namun kefahaman terhadap Islam sentiasa melalui proses pembaharuan (tajdid) dan perubahan (taghyir). Justeru PAS yang bertunjangkan dasar Islam turut memiliki fleksibiliti yang serupa dengan ajaran Islam.

(Alang Ibn Shukrimun)
18 Ramadhan 1440
23 Mei 2019

Leave a Response