Ratifikasi Status Rom: Hormati Perlembagaan Persekutuan!

share on:

 

KENYATAAN MEDIA GERAKAN PEMBELA UMMAH

RATIFIKASI STATUT ROM: HORMATI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN!

1. UMMAH menyokong penuh keputusan kerajaan Malaysia untuk menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom.

2. UMMAH berpendirian bahawa perkenan Majlis Raja-Raja mesti diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan terutamanya dalam isu Statut Rom ini selaras dengan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang jelas memberi kesan langsung terhadap keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja.

3. Kerajaan Malaysia perlu mengambil tanggungjawab penuh untuk meredakan kesangsian dalam kalangan rakyat Malaysia dan tidak terburu-buru untuk meratifikasi Statut Rom apatah lagi sehingga melibatkan campur tangan daripada Majlis Raja-Raja.

4. UMMAH berpendirian bahawa sebarang bentuk jenayah serius yang membimbangkan (“serious crimes of concern”) sepertimana yang termaktub dalam Statut Rom wajib ditentang sekeras-kerasnya. Namun peruntukan Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati dan dirujuk dahulu kepada Majlis Raja-Raja secara terperinci terutamanya:-
i) Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera yang mempunyai kesan langsung dengan Perkara 27 dan 28 Statut Rom; dan
ii) Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Mahkamah Khas Raja-Raja yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mendakwa hatta Yang Di-Pertuan Agong.

5. UMMAH percaya dalam keadaan apa sekalipun Majlis Raja-Raja dan kerajaan Malaysia, pada setiap masa, menentang sekeras-kerasnya kesalahan jenayah dalam Statut Rom walaupun tanpa meratifikasinya dan komited menangani dan mendakwa pelaku jenayah ini di Malaysia sepertimana yang pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam kes Al-Maunah pada tahun 2000 dan pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013.

6. Majlis Raja-Raja yang sekian lama menjadi “payung” dan “pelindung” kepada asas dan kepelbagaian dalam negara ini wajib dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia sepertimana prinsip ketiga dan keempat yang termaktub dalam Rukun Negara; Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

7. UMMAH dengan sepenuhnya menyokong keputusan dan pendirian Majlis Raja-Raja untuk tidak bersetuju meneruskan ratifikasi Statut Rom ini. UMMAH juga percaya bahawa kedudukan Majlis Raja-Raja dan Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan selagimana adanya bulan dan bintang.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Timbalan Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)

Leave a Response