Jangan Hantar Zakir Naik Pulang

share on:

 

Jangan Hantar Zakir Naik Pulang

KUALA LUMPUR – Jangan hantar pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik pulang ke India.

Itu amaran keras yang disuarakan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Himpunan 405 yang berlangsung hari ini di ibu kota.


Katanya, umat Islam tidak akan berdiam jika pihak tertentu menghalang pergerakan pendakwah itu.

“Jangan hantar Zakir Naik pulang ke India,” katanya.

Kerajaan India baru-baru ini secara rasmi mendakwa Zakir terlibat dengan tuduhan pengubahan wang haram.

BBC melaporkan, Zakir yang menetap di Malaysia sejak 2017, dituduh memperoleh aset berkaitan jenayah bernilai AS$28 juta, namun beliau menafikan dakwaan berkenaan.

Susulan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji tuduhan tersebut sebelum tindakan selanjutnya diambil atau sebaliknya menyerahkan kepada kerajaan India bertindak.

Selain itu, Tuan Ibrahim menegaskan himpunan hari ini tidak akan berakhir begitu sahaja sebaliknya memorandum akan dihantar ke Parlimen, Yang diPertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja bagi memperincikan isu-isu seperti Statut Rom, isu allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Bahasa Kebangsaan dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Sebelum itu Tun Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kebangkitan umat Islam menerusi himpunan hari ini akibat tekanan pihak tertentu terhadap agama itu.

“Kita berhimpun memberi amaran kepada golongan yang sedang bekerja keras menghalang Islam.Kita berhimpun untuk beri amaran dan peringatan bahawa umat Islam tidak berdiam diri.

“Kalau Islam tak ditekan, mustahil ribuan hadir hari ini,” ujar Timbalan Presiden PAS itu. -MalaysiaGazett

Sumber: https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/04/jangan-hantar-zakir-naik-pulang/

Leave a Response