Transkrip Ucapan YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Di Ceramah Perdana: Islam Memimpin

share on:

TRANSKRIP UCAPAN YB. DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG DI CERAMAH PERDANA: ISLAM MEMIMPIN BUKIT KATIL, MELAKA

Oleh: Asyraf Hanif

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام
وفضلنا على كثير من الأمم
والصلاة والسلام على رسول الله
وعلى آله وصحبه ومن ووالاه
أما بعد

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ

(Surah ‘Ali-Imran)

Dan berpeganglah kamu semua dengan tali agama Allah dan jangan sekali-kali kamu berpecah belah.

Firman Allah Ta’ala,

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِینَ تَفَرَّقُوا۟ وَٱخۡتَلَفُوا۟ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَاۤءَهُمُ ٱلۡبَیِّنَـٰتُۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِیمࣱ

(Surah ‘Ali-Imran)

Dan jangan kamu jadi seperti umat zaman dahulu yang berpecah dan berkelahi sesama mereka setelah datangnya keterangan-keterangan daripada Allah. Lalu Allah timpakan ke atas mereka azab yang sangat besar, dunia dan akhirat.

Yang berhormat, Tan Sri Anuar Musa, Setiausaha Agung UMNO, Yang dihormati Ketua Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Timbalan-timbalan, Pesuruhjaya PAS Melaka, Timbalan-timbalan, tidak ketinggalan Dato’ Seri Tan Sri Dato’ Ali Rustam, mantan Ketua Menteri Melaka, semua pemimpin-pemimpin, hadirin hadirat, saudara saudari dan anak-anak yang saya kasihi sekalian.

Saya menyebut ayat yang dibaca Tan Sri Yang Berhormat Anuar Musa tadi dalam surah ‘Ali-Imran, disambung oleh ayat yang berikutnya. Mengapa ayat ini diturunkan oleh Allah? Diwahyukan dengan adanya sebab yang berlaku di zaman Nabi SAW untuk pengajaran kepada generasi awal dan Quran itu petunjuk sehingga hari kiamat kepada umat Islam.

Sebab berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam, yang telah disatukan oleh Allah dan RasulNya Muhammad SAW dengan persaudaraan Islam. Kalangan Muhajirin (yang datang dari Mekah), kalangan Ansar (suku kaum ‘Aus dan Khazraj yang berperang di zaman Jahiliah). Islam menyatukan mereka, melupakan perperangan dan permusuhan, dengan Islam mereka bersatu. Dengan kesatuan yang kukuh, maka umat Islam berkuasa di Madinah. Di mana Allah dan Rasul mengajak orang Islam berpolitik dengan bersatu, perpaduan umat Islam. Walaupun mengikut kenyataan sejarahnya umat Islam adalah golongan minoriti tetapi mereka bersatu.

Kalangan bukan Islam majoriti terdiri daripada kalangan orang-orang Arab yang belum Islam, orang-orang Yahudi (Bani Qainuqa’, Bani Nadhir, Bani Quraizah) mereka berperang di antara satu sama lain menyebabkan mereka tiada kekuatan. Orang Islam yang lebih kecil jumlahnya berjaya memimpin negara Madinah dengab masyarakat majmuk. Ditunjukkan pemerintahan yang adil kepada semua. Bukan sahaja orang Islam, termasuk kalangan bukan Islam setelah dimeteraikan Sahifah Madinah atau Piagam Madinah. Diterima orang-orang bukan Islam menjadi rakyat.

Islam yang adil dan rahmat ini berjaya menarik orang bukan Islam masuk Islam, tidak dengan paksaan. Keadaan ini merisaukan orang-orang Yahudi khususnya lalu mereka berusaha untuk memecahkan umat Islam dengan membaca syair dan sajak memuja pahlawan-pahlawan ‘Aus dan Khazraj. Menyebabkan masing-masing berbangga dengan pahlawan masing-masing. Akhirnya mencetuskan perbalahan. Hampir berlakunya perperangan, lalu Allah menurunkan ayat-ayat yang dibaca tadi. Oleh kerana ada iman dalam diri mereka terhadap ayat-ayat itu, percaya kepada Nabi SAW, mereka kembali bersatu, bermaafan di antara satu sama lain sehingga menangis, menyesal di atas perbuatan, kesalahan yang berlaku.

Kesatuan ini berjaya memperkasakan Islam sehingga selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW. Islam berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Berkuasa selama 1300 tahun. Di Timurnya Nusantara, di Baratnya Afrika Barat, Selatan Eropah, Kerajaan Islam Andalus (Sepanyol dan Portugal), di Utaranya Asia Tengah termasuk Moscow. Moscow itu asalnya al-Misk, wilayah Islam. Di Timur, disebut alam Melayu daripada Sumatera sehinggalah Kerajaan Champa di Vietnam dan Kemboja, sehingga Kepulauan Filipina. Manila itu daripada perkataan Amanullah, baru tahu barangkali. Amanullah manila itu. Islam berkuasa sehingga menguasai wilayah yang luas. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi Nusantara. ini kehebatan Islam.

Tetapi berlakunya kemalangan dalam perjalanan sejarah umat Islam bila mereka berpecah. Berlaku di Andalus dikenali hari ini Sepanyol dan Portugal, Islam memerintah selama 800 tahun membina tamadun yang hebat, mengislamkan penduduk yang ramai. Tetapi dalam perjalanan sehingga 400 tahun, berlaku perpecahan di kalangan umat Islam di Andalus apabila raja-raja daerah-daerah ini berperang di antara satu sama lain. Sanggup menjemput musuh datang untuk berperang sesama sendiri. Sehingga kemuncaknya keadaan yang sangat membahaya, raja-raja ini berhimpun, berbincang untuk menyelesaikan masalah. Lalu ada cadangan supaya menjemput bantuan daripada kerajaan Murabithun yang berkuasa di Morocco. Islam kuat di Morocco, kerajaan Murabithun. Jemput mereka datang.

Tiba-tiba ramai dalam kalangan raja-raja ini bimbang nanti kalau tentera Murabithun, Morocco datang, dia akan rampas kuasa. Hilanglah takhta kita. Lalu seorang raja kalangan mereka bernama Ibnu Abbad menyampaikan ucapannya yang terkenal,

“Biar saudara kita Islam dari Morocco datang membantu kita. Tidak mengapa kalau kita dijatuhkan daripada takhta. Mereka orang Islam. Kalau kita dijatuhkan, kita jadi gembala unta tetapi kalau musuh yang datang, bukan Islam memerintah kita, jadi gembala babi. Mahu jadi gembala unta atau gembala babi? Pilih”

Ucapaan yang menyentuh perasaan. Lalu diminta bantuan, datang tentera Murabithun menyelamatkan Islam 400 tahun lagi, cukup 800 tahun. Tetapi berlaku perpecahan selepas itu. Ini sejarah hitam bagi umat Islam.

Kemudian berlakunya 100 tahun yang lalu, kejatuha Khilafah Uthmaniyah (kuasa besar orang Islam). Kenapa? Kerana berpecah antara orang Arab dan orang Turki. Semangat Nasionalisme Arab, lupakan Islam. Mereka dicucuk oleh musuh, penjajah barat British, Perancis sanggup membantu orang arab jatuhkan Uthmaniyah. Mereka sokong orang Arab jadi khalifah. Mark Lawrence mendekati King Abdul Aziz di Najad, MacMahon Gabenor British di Mesir mendekati Syarif Hussein yang menjadi raja Hijaz (Mekah, Madinah dan Jeddah) membantu mereka untuk mengisytiharkan Revolusi Agung Arab (الثورة العربية الكبرى) untuk menjatuhkan Uthmaniyah.

Almarhum Sultan Abdul Hamid cuba nak menyelamatkan keadaan lalu menganjurkan projek kereta api (الجامعة الاسلامية) dari Turki ke Hijaz, dari Hijaz ke benua India. Orang Islam dari Asia Tenggara nak pergi Mekah naik kapal di India sahaja, kereta api menyatukan orang Islam. Tiba-tiba orang arab yang memberontak meletupkan rail-rail yang telah dibina dari Turki dan Hijaz. Mereka yang pergi ke Madinah, di Ambariah masih ada lagi gerabak-gerabak kereta api, sudah sampai kesitu. Di antara duitnya adalah wakaf orang Islam, hartawan untuk menjayakan projek ini tetapi orang Arab meletupkan di atas semangat kebangsaan Arab. Bahkan ada dalam kalangan orang Arab hari ini berbangga dengan projek ini kerana mengambil kayu-kayu yang digunakan untuk landasan ini, buat rebus teh. Tidak habis lagi, bangga dengan ith sahaja. Sangat malang. Dan hari ini berlaku lagi perpecahan dalam kalangan orang Arab.

Itu cerita orang, cerita kita disini. Mengapa jadi begini? Jadi begini Pilihan Raya yang lalu? Berlaku perkara yang mungkin ramai kalangan kita yang tidak terfikir. 65% orang Islam, Melayu dan Islam. Sangat sinonim sehingga orang Melayu menganggap Islam itu Melayu, Melayu itu Islam. Walaupun PAS dan UMNO berbeza pendekatan tetapi sama-sama Melayu dan Islamnya. Berbeza pendekatan dan cara. Kita menyaksikan apa yang berlaku.

Apabila orang bukan Islam yang jumlah lbih kurang 30%, mereka bersatu bulat tanpa mengira DAP, Gerakan dan MCA. Mereka bersatu. Dapat dilihat, Kota Bharu semua orang bukan Islam mengundi PH, Kuala Terengganu undi PH. Dapat disaksikan jumlah mereka tidak mencukupi untuk menang tetapi mereka bersatu. Tetapi kita orang Melayu Islam, kalau ada 5 parti, pecah 5. 3 parti pecah 3. Khusus yang muda-muda. Saya membuat lawatan ke seluruh negara, di markas-markas PAS di negeri diberi taklimat pengundi muda 21 tahun hingga 30 tahun, 30% mengundi. 30% orang muda yang tidak tahu sejarah, tidak tahu latar belakang perjuangan kemerdekaan, lain-lain lagi semata-mata marah pada UMNO, mungkin ada silap. Marah pada PAS dengan fitnah 90 juta PAS terima duit UMNO. Tolak PAS, tolak UMNO, yang muda-muda ini belajar politik dengan “handphone”. Membuat pilihan yang salah. Berlaku kerajaan ini memerintah kita. 66 kerusi bukan Islam, 58 orang Islam yang memerintah negara ini. Orang Islam 58 kerusi, bukan Islam 66. Walaupun campur yang melompat, tidak cukup lagi masih lebih lagi bukan Islam.

Mengapa jadi begini? Sebabnya, kata pantun, saya nak pantun dekat orang Melaka,

Buah Salak, Buah Kedondong,
Dikumpul diletak dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tapi salah memangkah undi.

Salah memangkah undi. Kita menyaksikan bagaimana orang Islam adalah kumpulan yang utama memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Melaka secara khusus dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun, British lagi. Kehebatannya orang Melaku terus bersama dengan Islam. Mereka tidak berjaya nak murtadkan orang Melaka menjadi Kristian walaupun silih berganti penjajah itu.

Satu kajian dibuat oleh Almarhum Profesor Dr. Wan Husin Azmi dan Profesor Dr. Haron Din. Beliau buat kajian dalam bahasa Arab masa di Azhar, saya sempat, saya ikut sama bantu kajian ini. Antara perkara yang menarik, mengapa di Tanah Melayu ini datangnya etnik kaum Jawa ada, Bugis ada, Banjar ada, Minang ada berkumpul di sini. Mengapa mereka datang? Sebenarnya mereka datang untuk menentang penjajah Portugis. Bukan untuk tanam kelapa, bukan untuk tanam getah, bukan untuk jadi nelayan. Negeri mereka luas tanah, subur. Mereka datang ke sini untuk menentang penjajah. Bermakna umat Melayu bersatu menentang penjajah.

Sehinggalah di zaman Moden bila penjajah menubuhkan Syarikat Hindia British dan Syarikat Hindia Belanda, maka umat Islam menubuhkan Sarekat Islam, yang ditubuhkan cawangannya di seluruh Nusantara ini. Diharamkan oleh British, di Indonesia dilemahkan, diharamkan sehingga peringkat kemuncak selepas perang dunia kedua, bila British nak laksanakan agenda Malayan Union untuk menjajah lebih bertapak dan lebih menyengkam, orang Melayu bersatu. Semua NGO, persatuan Melayu bergabung dalam satu United Malay National Organization (UMNO), bergabung dalam UMNO termasuk dalam kalangan ulamak-ulamak Sarekat Islam, Ulamak Hizbul Muslimin bergabung dalam UMNO. PAS tiada lagi di masa itu, bergabung dalam UMNO termasuk ayah saya sendiri. Ayah saya, saya beri tahulah, jadi Naib Ketua Bahagian Cawangan UMNO di Marang. Almarhum Yahya Junaid, Tuan Guru di Kedah jadi pemimpin UMNO di Kedah.

Apabila memikirkan perlunya mempertahankan politik Islam secara ilmu, maka ulamak-ulamak bermuzakarah di Muar Johor tahun 1950. Biro Agama UMNO dan ulamak-ulamak, pelbagai kalangan pemikir Islam bermuzakarah di Muar, Johor, kemudian bermuzakarah di Selangor, Sultan Sulaiman Club, kemudian bermuzakarah di Pulau Pinang, Seberang Perai, mereka bersetuju menubuhkan PAS, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Dan apabila British nak adakan Pilihan Raya tahun 1955, PAS masuk Pilihan Raya, UMNO masuk Pilihan Raya bersama dengan Perikatan terdapat perbezaan pendapat. PAS tidak bersetuju dengan Jus Soli, menerima pendatang asing diberi rakyat dengan mudah. PAS tidak bersetuju di masa itu, UMNO menerima untuk cepat mendapat kemerdekaan. Maka PAS bertanding Pilihan Raya berasingan. Daripada 52 kerusi, PAS menang 1 kerusi, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein. 51 kerusi lagi UMNO, MCA MIC. Tetapi bersatu di Parlimen mendesak untuk meletakkan Islam dalam Perlembagaan, di mana wakil PAS termasuk pendokong Islam dalam UMNO, termasuk dalam kalangan raja-raja menghantar memorendum untuk Suruhanjaya Reid meletekkan Islam adalah agama Persekutuan. Dalam masa yang sama, kita menerima orang asing yang datang ke sini, sebahagian daripada kita kebebasan kepada agama yang bukan Islam, hak kebebasan. Ini tidak menjadi salah.

لَاۤ إِكۡرَاهَ فِی ٱلدِّینِۖ

Tidak ada paksaan dalam agama tapi Islam agama Persekutuan. Ini titik persamaan PAS dengan UMNO. Ini bukan kali pertama kita bersatu, berlaku dalam sejarahnya. Dan apabila diadakan sidang Afro-Asia di Bandung, dianjurkan oleh negeri yang sudah merdeka, Indonesia, India dan lain-lain, Afro-Asia di mana Dr. Burhanuddin, Saadon Zubir, ini almarhum semua, PAS dan UMNO mewakili Tanah Melayu dalam sidang Afro-Asia di Bandung. Ini bacaan sejarahnya walaupun kita pembangkang, kita menyampaikan suara Islam, ada muhasabah, ada perhitungan.

Tahun 1969, bila berlaku peristiwa 13 Mei, negara dalam keadaan menghadapi ancaman kaum, orang Melayu perlu dikuatkan. PAS menyertai kerajaan campuran 1973,1974 ditubuhkan Barisan Nasional, Perikatan dibubarkan. Kemudian kita berpecah tahun 1979. Setiap kali berlaku perkara yang mencabar, orang Islam bersatu. Islam adalah rahsia kesatuan umat Islam walaupun mereka berjaya melumpuhkan orang Islam dengan membelah bahagikan orang Islam, memfaraidkan sesama mereka, mereka tidak berjaya menghapuskan semangat Islam.

Mengikut Snouck Hurgronje, Snouck Hurgronje ini orientalis Belanda yang dihantar mengaji pondok, pesantren di Indonesia. Berpura-pura masuk Islam, tukar nama Abdul Ghaffar, pergi Mekah, kahwin dengan orang Indonesia, balik ke Belanda dia tulis buku, tulis artikel, makalah. Antara kenyataannya, “Tidak menjadi masalah kalau orang Islam ini sembahyang sahaja, puasa sahaja, haji sahaja. Akan menjadi masalah kalau orang Islam memahami politik”. Lalu disebarkan dalam Islam tiada politik. Memisahkan politij dengan agama. Berlaku pertembungan dalam masyarakat kita menyebabkan kita lemah dalam masalah politik. Orang lain kuat dalam masalah politik, berlaku kelemahan ini.

Mengikut Gladstone, Perdana Menteri British zaman Queen Victoria, dalam Parlimen British membahaskan penentangan orang Islam terhadap penjajah walaupun orang Islam dalam keadaan lemah. Di mana rahsianya? Rahsianya ialah kerana ada tiga perkara yang tidak boleh ditinggalkan oleh orang Islam walaupun mereka jahil, mereka bebal, tidak tahu agama, tapi ikatan dengan agama sangat kuat.

Ada tiga perkara. Yang pertama, buku ini Al-Quranul Karim. Yang kedua, solat Jumaat seminggu sekali. Yang ketiga Haji di Mekah. Selagi ada tiga perkara ini, orang Islam tidak mungkin dihapuskan.

Kita menyaksikan bagaimana roh Islam masih ada dalam diri orang kita. Sejahil-jahil orang Melayu, jangan kacau Quran, jangan kacau agama dia. Islam boleh menyatukan mereka. Islam menjadi titik yang menyatukan kita semua. Bagaimana nak menghadapi cabaran terkini? Setelah kita melihat cabaran yang mendatang ini, sudah tiba masanya kita orang Islam bersatu di atas semangat sama-sama kita, hindarkan perselisihan, perbalahan. Nabi pernah berpesan,

أحبب حبيبك هونا ما عسى أن يكون بغيضك يوما ما و أبغض بغيضك هونا ما عسى أن يكون حبيبك يوما ما

Kasih pada seseorang, biar berpada-pada, ada reserve. Boleh jadi orang yang kamu kasih itu akan menjadi musuh kamu di satu hari. Benci pada seseorang, berkelahi ada batas, jangan selama-lama. Boleh jadi orang itu jadi sahabatmu di satu hari nanti. Apalagi mengikat kita ialah Islam yang menjadikan kita bersaudara,

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَ أَخَوَیۡكُمۡۚ

Orang beriman itu bersaudara. Bila bersaudara, adik beradik tidak boleh menikah adik beradik. Kerana adik beradik, yang penting kita bersatu adik beradik ini walaupun kita berbeza pendapat, berbeza pandangan. Ambil iktibar, ada orang tua-tua kata, anjing sekampung yang berkelahi, anjing,anjing yang berkelahi, anjing sekampung, dia kelahi sama-sama anjing ni, masuk rusa dalam kampung dia bersatu kejar rusa itu. Lepas itu dia berkelahi balik. Itu anjing, kita ni apa ni? Nak berkelahi sepanjang masa. Ini, apa lagi kita manusia yang Allah berikan akal, beri fikiran. Jadikan pertemuan demi pertemuan, In shaa Allah akan mengembalikan semula kekuatan kita semua. In shaa Allah.

Jadi saya rasa sudah padan dengan ucapan itu. Cukup. Yang penting kita bekerja, kita bekerja dan usahakan untuk mengembalikan Islam yang perkasa, Islam yang memerintah, Islam yang memimpin, ini sangat penting. Sekian.

وبالله التوفيق والهداية

و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Leave a Response