Transkrip Ucapan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Di Ceramah Perpaduan Ummah

share on:

TRANSKRIP UCAPAN YB. DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG DI CERAMAH PERPADUAN UMMAH

Oleh: Asyraf Hanif

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين
والعاقبة للمتقين ولا عدوان إلا على الظالمين
والصلاة والسلام على رسول الله
وعلى آله وصحبه ومن ووالاه

أما بعد

وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ

(Surah Ali-‘Imran)

Dan berpeganglah kamu semua wahai orang-orang yang beriman dengan tali agama Allah dan jangan kamu berpecah belah.

Firman Allahu ta’ala:

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِینَ تَفَرَّقُوا۟ وَٱخۡتَلَفُوا۟ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَاۤءَهُمُ ٱلۡبَیِّنَـٰتُۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِیمࣱ

(Surah Ali-‘Imran)

Dan janganlah kamu jadi seperti umat di zaman dahulu yang berpecah dan bertelingkah sesama mereka, setelah datangnya keterangan-keterangan daripada Allah, mereka bertelingkah juga lalu mereka menerima azab yang sangat besar, azab dunia dan azab akhirat.

Yang dihormati Pengerusi Majlis, Ashabul Fadhilah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Profesor Dato’ Dr. Mahfodz, Yang Dihormati Dato’ Seri Ghazali Ibrahim Ahli Majlis Tertinggi Umno, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, pemimpin-pemimpin PAS,UMNO di semua peringkat, hadirin hadirat, saudara saudari dan anak-anak yang saya kasihi sekalian.

Saya ulangi ayat-ayat yang saya jelaskan dalam ceramah petang tadi dengan kehadiran yang tidak seramai ini, kerana banyak memberi pengajaran kepada kita. Sebab turunnya ayat-ayat yang saya baca tadi, berlakunya perpecahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam di zaman Rasulullah SAW setelah mereka disatukan bersama Islam. Umat Islam yang terdiri daripada para sahabat Muhajirin (yang datang dari Mekah) dan Ansar (penduduk asal Madinah yang menganut Islam kalangan Aus dan Khazraj), berperang di zaman jahiliah, tiba-tiba mereka dapat disatukan.

Kesatuan umat Islam menjadikan mereka layak memegang kuasa politik negara Madinah yang ditegakkan walaupun orang Islam adalah golongan minoriti kalau dibandingkan dengan penduduk bukan Islam yang berada di Madinah daripada kalangan orang-orang Arab yang belum Islam, kalangan munafiqin (orang-orang yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir, Bani Khuraizah), jumlah mereka lebih besar, tetapi mereka berpecah, berperang sesama sendiri, adapun orang Islam bersatu.

Apabila Nabi SAW berhijrah ke Madinah, penduduk bukan Islam yang berpecah itu menerima kepimpinan Islam walaupun jumlah mereka lebih besar daripada orang Islam. Apabila Islam menunjukkan pemerintahan yang adil terhada semua, tidak memaksa penganut bukan Islam masuk Islam, dibenarkan tinggal di Madinah, dimeteraikan Sahifah Madinah piagam Madinah yang terkenal (disebut hari ini kontrak sosial) menggabungkan masyarakat majmuk. Melihat Islam yang adil ini menyebabkan orang Islam makin hari makin bertambah kerana makin ramai orang masuk Islam.

Tidak menyenangkan orang-orang yahudi padahal mereka tahu tentang nabi akhir zaman. Disebut dalam kitab mereka, diberitahu oleh rasul-rasul mereka. Ada kalangan mereka yang melihat tanda yang ada pada batang tubuh Rasulullah SAW lalu masuk Islam. Ada yang degil tak masuk Islam. Tetapi yang degil ini merancang untuk merosakkan orang Islam. Melagakan di antara Aus dan Khazraj yang berperang di zaman jahiliah dengan membangkitkan semangat kabilah masing-masing. Memuja pahlawan-pahlawan Aus dan Khazraj. Akhirnya hampir mencetuskan perperangan. Lalu Allah menurunkan ayat-ayat yang dibaca tadi, iman yang ada dalam diri mereka mengembalikan mereka kepada perpaduan. Masih ada iman dalam diri mereka. Dan Islam terus berkembang ke seluruh pelusuk dunia walaupun setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW.

Islam memerintah selama 1300 tahun (14 abad), di timurnya Nusantara, Asia tenggara ini, di baratnya Afrika Barat, Selatan Eropah Sepanyol dan Portugal (Negara Islam Andalus), di Utaranya Asia tengah termasuk Moscow, Moscow itu Al-Misk, di Selatanya Afrika Tengah. Asia tenggara ini kawasan Islam alam Melayu dari Acheh sehingga Champa, Vietnam dan Kemboja, sehingga Filipina, Manila itu Amanullah, tidak tau barangkali. Asal Manila itu Amanullah, Kerajaan Islam di situ, kepulauan Indonesia, ini wilayah Melayu Islam.

Namun orang Islam mengalami zaman kelemahan dengan sebab perpecahan sesama sendiri, berpecah sesama sendiri. Perpecahan ini berlaku kerana lemah dalam ilmu politik. Sembahyang rajin, puasa rajin, pergi haji rajin, tapi tidak tau politik, sedangkan orang lain dapat menguasai politik. Berakhir dengan negeri Islam dijajah, dipecah-pecah, dibahagikan kalangan kuasa penjajahan. Namun mereka tidak dapat memadamkan cahaya Islam, masih ada kumpulan-kumpulan Islam yang mempertahankan Islam. Masih ada benih-benih yang tidak boleh dimatikan.

Snouck Hugronje, orientalis Belanda ditugaskan untuk mengkaji masyarakat Islam. Pernah belajar di Pesantren di Sumatera, berpura-pura masuk Islam, tukar nama kepada Abdul Ghaffar, pergi mekah untuk melihat orang Islam dan balik ke Belanda menulis beberapa buku dan makalah-makalah. Antara yang ditulis Snouck Hogronje ialah tidak menjadi masalah kalau orang Islam sembahyang sahaja, puasa sahaja, haji sahaja, berzikir sahaja, tetapi menjadi masalah kalau ada ulamak-ulamak yang menyebarkan doktrin politik, memahamkan orang Islam tentang politik, mesti dipisahkan politik daripad Islam. Bagaimana nak pisahkan politik daripada Islam?

Perdana Menteri British, Gladstone berucap di Parlimen British membahaskan tentang orang Islam menentang penjajah, tidak tunduk kepada penjajah walaupun dalam keadaan yang lemah, miskin melawan penjajah. Mereka buka sekolah-sekolah Missionary untuk menyebarkan Kristian (Kristianisasi), gagal. Segelintir sahaja orang Islam yang masuk Kristian. Di mana rahsianya?

Gladstone berucap di Parlimen British menegaskan bahawa ada tiga perkara kekuatan orang Islam yang tidak memungkinkan kita menghapuskan orang Islam. Yang pertama buku ini (Al-Quran). Selagi ada Quran, orang Islam tidak boleh dihapuskan. Yang kedua, Solat Jumaat. Seminggu sekali dengar khutbah. Yang ketiga, Haji di Mekah. Mereka berhimpun setahun sekali bertemu di Mekah. Ini tiga perkara kekuatan orang Islam menyebabkan mereka tidak boleh dihapuskan.

Kita menyaksikan bagaimana Islam yang diajar Nabi kita Muhammad SAW, Islam yang sempurna bukan sahaja Islam yang mengajar dua kalimah syahadah, berpuasa, zakat dan haji, termasuk memerintah negara berhijrah ke Madinah. Di mana orang Islam bangkit menentang penjajah.

Almarhum Profesor Dr. Wan Husin Azmi, Almarhum Dr. Haron Din, menulis kajian dalam bahasa Arab. Semasa saya di Mesir, saya terlibat membantu dalam penulisan ini, sedikit sebanyak saya mendapat maklumat kajian yang dibuat. Mengapa adanya masyarakat jawa, masyarkat Bugis, masyarakat Banjar, masyarakat Minang di Tanah Melayu ini. Mereka datang ke sini mengapa? Masih ada keturunan-keturunan mereka berbagai suku kaum yang ada di Nusantara, ada di sini. Sejarahnya ialah orang Islam tidak menyerah kalah ketika kejatuhan Melaka 1511.

Umat Islam bangkit menentang penjajah. Di mana kaum-kaum Islam Nusantara, Jawa, Bugis, Banjar, Minang berkumpul untuk menentang penjajah Portugis dan Belanda. Ini datuk nenek saudara-saudara, bukan datang nak tanam kelapa, bukan datang nak jadi nelayan. Kalau nak tanam kelapa, tanah di sana lebih luas, lebih subur. Nak jadi nelayan lautnya lebih luas, banyak ikan. Mereka datang untuk berjihad menentang penjajah.

Apabila British dan Belanda menubuhkan Syarikat Hindia British, Syarikat Hindia Belanda, maka pemimpin-pemimpin Islam dan ulamak-ulamak menubuhkan Sarekat Islam (tahun 1908 oleh Haji M… Said Tjokroaminoto yang menjadi ketuanya) mengembangkan cawangan-cawangannya di Nusantara. British mengharamkan, mengharamkan. Di Indonesia dibenarkan, di sini diharamkan.

Apabila ulamak-ulamak Islam bermuzakarah di Muar yang disebut tadi 1950, bermuzakarah di sini. Setelah Hizbul Muslimin diharamkan, Sarekat Islam diharamkan, UMNO diizinkan, maka ulamak-ulamak sebahagiannya dalam UMNO, sebahagian-sebahagiannya mengajar di pondok-pondok, pusat-pusat Ilmu, sebahagian dalam UMNO. Hizbul Muslimin sudah diharamkan, mereka duduk dalam UMNO termasuk ayah saya, Haji Awang menjadi Naib Ketua Bahagian UMNO di Marang. Almarhum Haji Yahya Junaid, menjadi ahli UMNO. Banyak pemimpin-pemimpin ini bermuzakarah di Muar, berbincang tentang Islam. Disambung muzakarah di Selangor, Sultan Sulaiman Club, muzakarah di Pulau Pinang, bersetuju menubuhkan PAS, Persatuan Islam Se-Malaya. Mesti ada satu parti politik yang berteraskan Islam, orientasi Islam secara terbuka di samping UMNO. Maka ada ahli UMNO jadi ahli PAS, ahli PAS jadi ahlu UMNO, tidak menjadi masalah di masa itu. Ini begitu.

Kemudian Pilihan Raya 1955, Pilihan raya yang pertama, PAS didaftar untuk menjadi parti politik, PAS bertanding 10 kerusi. UMNO bergabung dengan MCA, MIC. Berlaku pertlingkahan antara UMNO dan PAS. PAS tidak bersetuju dengan Jus Soli, menerima pendatang menjadi rakyat, ini mudah. PAS menentang di masa itu termasuklah Dr. Mahathir tidak setuju. Tun Mahathir hari ini tulis surat banyak ke Tunku menyebabkan beliau dipecat daripada UMNO tahun 1969 kerana Jus Soli ini dan bila Tun Mahathir dipecat tahun 1969, selepas 13 Mei dipecat, Tun Mahathir berucap di atas pentas PAS, Pilihan Raya Kecil di Selangor, di Kapar berucap atas pentas PAS. Dengan sebab itu tidak menjadi masalah saya boleh berjumpa Tun Mahathir, pernah berucap di pentas ini.

Ringkas ceritanya Pilihan Raya baru ini, mengapa jadi begitu? Jadi begitu? Orang Islam 65%, orang Bukan Islam 35%, orang cina dalam 20%, tetapi yang memerintah kerajaannya 66 kerusi bukan Islam, 58 kerusi orang Islam. Ini kerajaan Pakatan Harapan. Mengapa jadi begini? Jawabnya, saya nak jawab dengan pantun, boleh juga pantun,

Buah Salak, buah Kedondong,
Sila letak di dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi salah memangkah undi.

Kita orang Melayu berpecah, orang bukan Islam 90% mengundi Pakatan Harapan, 90% termasuk di Kuala Terengganu, termasuk di Kota Bharu, habis undi Pakatan Harapan, ini dapat dilihat undinya begitu. Anak-anak muda yang umur 21 tahun hingga 30, mereka 30% undi Pakatan Harapan juga. Kenapa? Marah pada UMNO, marag pada UMNO, padahal dia baru setahun jagung, tidak tahu cerita-cerita panjang. Marah pada UMNO, marah pada PAS sebab terima duit UMNO 90 juta, disebarkan begitu. Maka menanglah Pakatan Harapan, jadi kerajaan begini, yang begini rupa jadinya sehingga kalangan bukan Islam berani mencabar, mencabar Islam ini. Padahal yang memperjuangkan kemerdekaan sejak zaman Portugis, Belanda, British adalah orang Islam yang menentang penjajah. Semua orang Islam orang melayu menentang penjajah ni. Mereka menjadi pekerja di estate, pekerja di lombong, diletakkan di bandar-bandar.

British mengatur supaya diberi kerakyatan kepada mereka. Oleh kerana kita orang Islam, kita orang Islam, berpegang dengan ajaran Islam, tidak menjadi masalah orang bukan Islam bersama, tidak menjadi masalah. Bila British menubuhkan Suruhanjaya Reid nak guba perlembagaan, maka Ahli Parlimen PAS seorang, seorang, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein, terdapat pimpinan UMNO juga yang ada semangat Islam, kalangan raja-raja pun sama mendesak supaya diletakkan Islam dalam perlembagaan. Islam adalah agama Persekutuan.

Oleh kerana orang bukan Islam juga terlibat dengan politik, masuk pilihan raya ada wakil-wakil mereka, maka hak agama lain diberi kebebasan. Tidak menjadi masalah. Inilah konsep Islamnya. Islam memerintah 1300 tahun, tidak paksa orang bukan Islam masuk Islam. Di Mesir masih ada gereja yang dibinakan sejak sebelum Nabi Muhammad SAW, di Iran ada rumah api Majusi dibina sejak sebelum kelahiran Muhammad SAW, masih ada sehingga ke hari ini, di Indonesia ada borobudur ajaran agama Hindu, tidak dipaksa tetapi mereka yang masuk Islam melihat Islam itu adil.

Kita menyaksikan bagaimana satu keluarga bukan Islam boleh berkedai di kampung Melayu. Di Kelantan, di Terengganu, di Kedah, di Johor pun ada, keluarga bukan Islam boleh hidup di tengah masyarakat Islam. Ini adab yang diajar oleh Islam. Dibenarkan buka sekolah Cina, sekolah Tamil dibenar. Di Indonesia tidak dibenar dibuka sekolah bahasa Cina, di Thailand tidak boleh dibuka sekolah bahasa lain melainkan bahasa Thailand, bahasa Indonesia, di sini dibenarkan dibuka sekolah jenis kebangsaan. Ini hak yang diberi kepada mereka.

Tiba-tiba mereka mendapat kuasa politik. Dengan kedudukan yang ada ini mula menunjukkan beraninya mencabar Islam, mencabar orang Melayu Islam yang memberi hak kepada mereka menjadi tetamu di sini. Berlaku apa yang berlaku. Sepatutnya menyedarkan kita orang Islam. Dari mana datangnya politik tidak penting? Penjajah yang bawa, penjajah yang ajar politik ni kotor, politik ni tidak penting, politik ni bukan dari agama, agama suku politik suku, ini dalam kitab injil, dalam kitab bible. Injil Matthew mengatakan,

دع لله لله وما لقيصر لقيصر

Agama itu agama, politik itu politik. Agama hak tuhan, politik hak pemerintah. Ini dalam bible, dalam injil. Dalam Quran Allah ta’ala sudah sebut, Nabi Adam dilantik menjadi khalifah. Khalifah itu makna dia ialah politik memerintah negara. Nabi-nabi itu bukan sahaja menjadi pemimpin agama, mereka juga pemimpin politik.

كانت بنو اسرائيل تسوسهم الانبياء

Ini hadis dalam sahih bukhari. Adalah bani Israil menjadi pemimpin siasah mereka ialah nabi-nabi. Nabi-nabi. Nabi-nabi ni bukan sahaja imam sembahyang, bukan sahaja imam kahwin, termasuk imam negara, nabi-nabi. Orang Islam mesti memimpin. Hanya Islam memimpin boleh menunjukkan adil untuk semua. Kalau bukan Islam memimpin, tidak boleh adil untuk semua. Mengapa? Kerana politik Islam ada dosa dan pahala. Tidak boleh zalim terhadap orang lain termasuk orang bukan Islam. Tidak boleh zalim. Berdosa walaupun dia bukan Islam. Ini diajar oleh Islam.

Dalam kisah yang terkenal bagaimana Saidina Ali bin Abi Talib Karamallhu Wajhah kehilangan baju rantai, baju yang mahal di zaman itu, dipakai untuk perang baju rantai hilang. Tiba-tiba dia lihat dipegang oleh seorang Yahudi, dipegangnya Yahudi itu di bawa ke mahkamah. Tidak dirampas walaupun dia ketua negara Khalifah, tidak dirampas, dibawa ke mahkamah. Dibicarakan di hadapan hakim Syuraih, Syuraih al-Kindi jadi hakimnya. Saidina Ali menuduh Yahudi mencuri baju rantai dia. Lalu Syuraih berkata,

البينة البينة ياامير المؤمنين

Mesti ada saksi, mesti ada saksi amirul mukminin. Kalau tuduh orang mesti ada saksi. Saidina Ali tidak boleh mengadakan saksi. Bila tidak dapat mengadakan saksi, lalu hakim Syuraih buat keputusan baju diserah kepada si Yahudi. Yahudi pun ambil baju keluar daripada mahkamah pusing balik menghadap Saidina Ali.

“Wahai Amirul Mukminin, sebenarnya ini baju tuan. Saya amb ketika terjatuh dari kuda tuan. Saya buat ini, saya nak lihat bagaimana kehakiman kamu. Ini hukum nabi-nabi, hukum Allah, hukum yang adil”

اشهد ان لا إله إلا الله وأشهد ان محمد رسول الله

Masuk Islam. Melihat keadaan Islam. Ketua Negara tidak guna kuasa dia. Kisah Saidina Umar bin Khattab radiallhu anh. Ini berlaku dalam sejarah Islam. Bila anak kepada Gabenor Mesir, ‘Amar bin ‘Ash. Amar bin Ash gabenor Mesir, anak dia berlumba kuda dengan pemuda-pemuda Qibti (Qibti ini Kristian Koptik, Kristian Orthodoks) Mesir berlumba. Lalu dia kalah, Kristian itu menang. Ditamparnya pemuda Qibti itu.

“Kamu tidak kenal aku ni siapa? انا ابن الاكرمين, aku anak orang bangsawan, anak Gabenor, berani kamu kalahkan aku”

Kalau zaman sekarang ni, biasa lah main Golf tu buat kalah lah. Beri menang orang yang lebih besar. Lalu si Kristian ni datang ke Madinah mengadap Khalifah Umar ibnul Khattab radiallahu ‘anhu. Mengadu anaknya ditampar oleh anak Gabenor Mesir. Saidina Umar tulis surat kepada Gabenor Mesir ‘Amru bin ‘Ash,

“Sila datang ke Madinah bawa sama anakmu ke sini”

Datang ke Madinah mengadap Saidina Umar. Saidina Umar kata,

اضرب ابن الألْيَمَيْن

Pukul anak orang bangsawan ini. Balas dia macam dia buat kamu. ‘Amar, sejak bila engkau memperhambakan manusia. Dilahirkan manusia dalam keadaan bebas dan merdeka. Ini adil Islam! Sifat inilah ada pada orang Islam. Sifat ini ada pada orang kita. Tapi malangnya, orang Islam tidak tahu kedudukan diri dia sendiri. Bagi kuasa pada orang lain. Menganggap politik ini tidak penting, bergaduh sesama sendiri. Ada 5 parti, pecah 5. 10 parti pecah 10.

Di Indonesia, Gabenor Jakarta, majoriti orang Islam Indonesia, Ahok yang menang. Mujur mereka sedar, akhirnya orang Islam bersatu di Indonesia kalahkan Ahok. Bukan kita fanatik kaum, tidak! Kita nak buktikan kita ni adil untuk semua, orang lain tidak boleh buat. Kerana politik yang bukan Islam ini tiada perhitungan dosa pahala.

Maka kita ajak orang Islam kembali bersatu. Bukan kali pertama PAS dengan UMNO bila berlaku masalah, kita bersatu. Kita berbeza politik zaman penjajah dulu tapi menuntut kemerdekaan sama. Berjaya meletakkan Islam di dalam perlembagaan. Bila berlaku pemberontakan Komunis, lepas kita merdeka Komunis masih ada, kerajaan UMNO mengemukakan undang-undang ISA untuk lawan Komunis, ahli-ahli Parlimen PAS menyokong undang-undang ISA untuk menentang Komunis walaupun ISA PAS juga kena tangkap selepas dari itu. Berlaku kemalangan lah. Asalnya begitu, asalnya begitu. PAS menyokong ISA. Tengok dalam hansard Parlimen. Almarhum Zulkifli Muhammad, Dr. Burhanuddin ahli Parlimen di masa itu menyokong ISA untuk melawan Komunis.

Tahun 1969 bila berlaku peristiwa 13 Mei yang terkenal dengan sebab berlakunya perubahan politik, yang dahsyat Pulau Pinang jatuh kepada Gerakan, Perak, Selangor dan lain-lain. Berlaku huru hara 13 Mei. Tun Mahathir kena pecat, saya sebut Tun Mahathir kena pecat. Tunku pecat dia. Orang PAS jemput ceramah atas pentas PAS. Tiada kawan nak bercakap, tidak berani nak bercakap dengan Tun Mahathir masa tu. Dia dipecat, orang PAS pergi rumah dia. Dia buat teman bercakap masa itu.

Kemudian Tun Razak mengambil alih, ajak PAS masuk kerajaan, kita masuk kerajaan. Masuk kerajaan campuran, tubuh Barisan Nasional. Dibubarkan Perikatan, tubuh Barisan Nasional. Lepas itu, kelahi balik, pecah balik. Kata hadis, dalam hadis, setengah ulamak kata ini kata-kata Saidina Ali,

أحبب حبيبك هونا ما عسى أن يكون بغيضك يوما ما و أبغض بغيضك هونا ما عسى أن يكون حبيبك يوما ما

Kasih pada seorang jangan kasih melampau sangat, ada reserve dia. Boleh jadi yang kamu kasih itu, satu hari jadi musuh kepada kamu. Marah pada seorang jangan marah melampau. Boleh jadi satu hari dia jadi kasih kepadamu.

Ini politik! Politik, apa lagi politik sesama orang Islam. Jangan jadi lesung dan alu berlaga, yang kenyangnya ayam. Yang berlaga lesung dengan alu, yang kenyangnya ayam. Kalau manusia kenyang tidak apalah.Dengan sebab itu, bila berlaku peristiwa ICERD di Parlimen, ada kalangan menteri yang bukan Islam cuba nak sahkan pengisytiharan Antarabangsa berkenaan dengan diskriminasi dan keadilan kemanusiaan sejagat. Menjadikan Islam agama yang sama dengan lain. Agama lain pun betul, semua agama betul. Ini salah! Tidak boleh. Kita orang Islam mesti mengatakan Islam betul, agama lain salah. Mereka nak kata agama mereka betul, itu hal dia!Tidak boleh kita orang Islam mengatakan Islam macam agama lain, tidak boleh! Salah! Tidak boleh! Nak samakan semua agama. Bercanggah dengan kemanusiaan. Tidak boleh! Masing-masing ada kefahaman dia. Kita kena sedar.

Adil untuk semua, hak istimewa orang Melayu, orang Islam. Memang perlu hak istimewa ini. Kita kena sedar, British telah berjaya mengatur ekonomi di sini walaupun orang Islam 65%, tetapi ekonomi 80% dikuasai oleh orang bukan Islam. Orang Islam 65%.

Di Indonesia, orang Islam 80%, orang bukan Islam 20%, 80% ekonomi dikuasai bukan Islam. Menjadikan keadaan yang tidak seimbang. Perlu dibetulkan, perlu dibetulkan! Ini kita kena sedar, kena faham. Ada tuntutan pula, kita kena sedar, kita orang islam ini boleh bertahalluf, boleh berta’awun. Bertahalluf ialah bekerjasama dalam titik persamaan. Berta’awun tolong menolong perkara yang baik, perkara yang tidak baik tidak boleh tolong menolong. Tetapi diharamkan berwala’. Berwala’ ini memberi kesetiaan yang tidak berbelah-belah bahagi dalam perkara betul dan salah, ini tidak boleh! Ini salah! Ayat-ayat Quran banyak melarang kita berwala’ dengan orang bukan Islam tetapi bertahalluf, bersefahaman itu boleh. Jangan kita terlajak, sehingga kita gadai agama kita.

Mengapa kita bertelingkah dalam Pakatan Rakyat? Kita bertelingkah dalam Pakatan Rakyat. Banyak perkara mereka menentang agenda Islam yang kita nak buat di Kelantan, nak buat di Terengganu mereka tentang. Padahal perlembagaan mengatakan ini hak orang Islam. Mereka campur hak orang Islam. DAP menentang, PKR diam. Jadi masalah. PAN pula kena rai, senyap. Ini jadi masalah. Mereka cadang nak buat pilihan raya majlis bandaran berdasarkan kepada penduduk. Kalau buat pilihan raya berdasarkan penduduk, akan timbul ketegangan kaum. Saya berhujjah dengan Kit Siang, dengan Anwar saya berhujjah. Tidak boleh! Kita kena faham dalam ilmu masyarakat, sesuatu tidak boleh hidup dengan penduduk dia sahaja, dengan pemandu teksi, peniaga kecil, macam-macam. Kampung yang membekalkan bandar itu keliling dia mesti diambil kira, jangan penduduk sahaja. Faham ke tidak kalau buat Pilihan Raya Bandaran ini? Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban, Johor Bharu dapat ke DAP. Kaum Cina yang menguasai. Bolehlah Marang itu orang Melayulah, Gua Musang bolehlah, boleh menang. Bandar-bandar yang kecil ini. Akan menimbulkan ketegangan. Mesti dibuat satu cara yang lain.

Tiba-tiba mereka letak dalam manifesto. Kita tidak setuju letak dalam manifesto. Ini salah, tidak boleh! Islam membenarkan orang bukan Islam jadi menteri. Dalam Islam, al-Mawardi dalam al-Ahkam as-Sulthaniah, dalam negara Islam masyarakat majmuk kita boleh lantik orang bukan Islam jadi menteri, Wazaratut Tanfiz, Wazaratut Tafwid dalam kitab fekah. At-Tafwid ialah menteri yang membuat dasar dan polisi negara, ini mesti orang Islam. At-Tanfiz, eksekutif-eksekutif, pengurusan boleh ambil orang bukan Islam, tidak menjadi masalah. Ini ada dalam hukum Islam. Tidak ada dalam hukum agama lain. Di sini sempurnanya agama kita. Masalah kita jahil itu cerita lain. Menunjukkan kita orang Islam ada politik kita sendiri, mempertahankan kedaulatan, kewibawaan kita mesti ada. Jangan orang Islam tidak tahu politik, tidak faham. Buat keputusan politik dengan “handphone”, dengan WhatsApp, berdasarkan maklumat telefon, tidak tahu siapa yang beri maklumat, betul ke salah, jahil ke tidak, ini merosakkan.

Kita dah terlanjur, Saidina Umar kata,

الرجوع إلى الحقّ خيرٌ من التّمادي في الباطل

Balik semula kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebathilan. Kita boleh bina kembali, boleh betul kembali. Perlu umat Islam bersatu dalam menentukan keputusan politik negara. Bukan kita nak singkirkan kaum lain, tidak! Tapi orang Islam mesti mempunyai kedudukan dia sendiri. Orang Islam yang berhak memimpin negara berdasarkan kepada dosa dan pahala. Orang lain tiada dosa pahala dalam memimpin negara. Ini jelas dan terang. Dan tanggungjawab kita sangat besar dalam Islam. Kita kena sedar, kita orang Islam kena percaya dihisabkan amalan kita semuanya, bukan sahaja amalan ibadat termasuk amalan politik dihisab di hadapan Allah ta’ala. Ini kita kena faham. Jadi itulah sekadar yang dapat saya ucapkan pada malam ini. Mudahan-mudahan Allah ta’ala memberi taufik dan Hidayah kepada umat kita untuk kembali ke pangkal jalan, diampunkan dosa kita semua, diberi kesedaran, kesinsafan. Cukup,

وبالله التوفيق والهداية

و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Leave a Response