Transkrip Ucapan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Di Karnival Kijal Sejahtera (Bicara Kerajaan Sejahtera)

share on:

TRANSKRIP UCAPAN YB. DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG DI KARNIVAL KIJAL SEJAHTERA (BICARA KERAJAAN SEJAHTERA)

Oleh: Asyraf Hanif

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين
والعاقبة للمتقين ولا عدوان إلا على الظالمين
والصلاة والسلام على رسول الله
وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ووالاه

أما بعد

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ
“Jika sekiranya kamu orang-orang Islam yang beriman ini, tidak keluar berjuang untuk memenangkan agama kamu, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan Allah menukar kaum yang lain daripada kamu”

Yang dihormati al-Fadhil Pengerusi Majlis, Yang Berhormat Ustaz Ariffin Deraman, Yang Berhormat Tuan Haji Hanafiah selaku ahli majlis mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Adun Ayer Putih, Yang Berhormat Ahli Parlimen Kemaman, Al-Fadhil Penyelaras DUN Kijal, Yang Dihormati saudara Syahir Sulaiman Setiausaha Politik Presiden PAS, Semua pemimpin-pemimpin PAS Kawasan Kemaman, Pemimpin-pemimpin masyarakat, Pegawai-pegawai Kerajaan, Hadirin Hadirat yang dihormati dan dikasihi sekalian.

Walaupun kita berjaya mempertahankan Kelantan dan berjaya menawan negeri Terengganu semula, Namun kita menghadapi suasana politik umat Islam yang sangat lemah. Walaupun kita bergembira dengan jatuhnya Barisan Nasional yang memerintah dahulu, ramai yang tidak sedar ataupun tidak faham bagaimana negara kita pada hari ini diperintah oleh majoriti bukan Islam.

Perdana Menteri yang memimpin Parti BERSATU hanya 13 kerusi sahaja, banyak PAS, PAS 18 kerusi. PKR bukan parti Islam, bukan parti Melayu, parti campur Melayu dan bukan Melayu. PAN bukan parti Melayu, bukan parti Islam, parti yang ditubuhkan PKR dan DAP untuk melawan PAS. UMNO rebah tak jadi kerajaan Pusat. Yang memerintah negara kita pada hari ini Kerajaan Pusat, 66 kerusi bukan Islam, 58 Melayu yang Islamnya mentah, walaupun penduduk Islam 65 peratus, yang bukan Islam 35 peratus. Bersoraklah mereka yang bersorak, tepuk tangan sampai bengkak tangan tak sedar.

Kita menyaksikan bagaimana parti-parti yang bukan Islam itu, berani membuat tuntutan-tuntutan yang menghina Islam. Sehingga peringkat mengemukakan untuk menyamakan Islam dengan agama lain. Bolehkah bagi kita orang Islam nak letak agama ni serupa(sama)? Bagi orang Islam wajib mengatakan Islam adalah paling mulia dan tinggi.

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
“Sesungguhnya Deen di sisi Allah ialah Islam”

Yang lain tidak diiktiraf oleh Allah walaupun orang bukan Islam menganggap ugama dia yang betul. Itu hal dia!

Kalau kita orang Islam, wajib meninggikan ugama kita Islam. Kalau letakkan Islam ni sama dengan ugama lain, seolah-olah kita menganggap semua agama itu serupa belaka.

Ini sangat bahaya. Sehingga kemuncaknya, di Parlimen berani mereka mengemukakan usul untuk menghapuskan hak istimewa bumiputera, secara tersembunyi! Yang disebutkan ICERD. Pengisytiharan menentang diskriminasi, menentang tidak sama rata bangsa dan agama yang dibawa oleh Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikuasai oleh Freemason Yahudi.

Nak dibawa ke Parlimen sehingga Perdana Menteri seorang dalam kerajaan yang mempertahankan Islam dalam perlembagaan. Perdana Menteri ada 13 kerusi je. PKR tidak pertahan, PAN tidak pertahan. Perdana Menteri pertahan di atas nama parti BERSATU yang tinggalnya parti Melayu 13 kerusi.

Hampirlah nak dibawa ke Parlimen. Sebagai tanggungjawab membawa suara Islam, saya berucap di Parlimen memberanikan diri memberi amaran. Sekiranya Pakatan Harapan berani menyalah gunakan suara untuk meluluskan ICERD, menyamakan Islam dengan agama lain, menghilangkan hak bumiputera dan Melayu, saya memberi amaran PAS boleh mengerah berjuta manusia turun ke jalan raya.

Saya tak sangka ucapan ini disambut oleh ahli-ahli Parlimen Melayu termasuk UMNO dengan takbir di dalam Parlimen. Maka berlakulah Himpunan yang besar di Kuala Lumpur menyebabkan mereka berundur. Alhamdulillah.

Itu yang mampu kita buat. Kita terpaksa memikul kesalahan yang dibuat oleh mereka yang dahulu. Mereka sengaja membanyakkan jumlah pengundi Kawasan Parlimen di Kelantan, Terengganu, Kedah. Satu kawasan Parlimen, seratus ribu pengundi. Kawasan Parlimen di Pantai Barat, satu kawasan Parlimen 30 ribu pengundi. Di Sabah dan Sarawak 10 ribu pengundi. Untuk membanyakkan kerusi-kerusi, menghalang jumlah kerusi PAS yang boleh menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Mereka menyangka bahawa orang bukan Islam selama-lamanya akan menyokong Barisan Nasional. 35 peratus orang bukan Islam. Pilihan Raya ke 14, 90 peratus mereka menyokong Pakatan Harapan. Orang muda yang umur 21 hingga 30 Tahun yang tidak reti apa, tengok handphone je, tidak faham politik! Nak lepas geram, mengundi Pakatan Harapan. Jumlah 30 peratus bukan Islam, 30 peratus orang muda yang tak tahu apa, mereka dapat 60 peratus kerusi pilihan raya. Hilangnya kuasa politik Islam dalam politik tanah air.

Sukalah kita menang di Kelantan, Terengganu, jangan kita lupa Kerajaan Pusat jadi sebegitu rupa. Wajib kita membuat muhasabah, membuat perhitungan menyedarkan anak-anak muda kita bahawa hukum politik adalah hukum wajib dalam Islam. Ini akibat kerana kita menganggap politik bukan daripada ajaran Islam, boleh pilih siapa sahaja. Dalam pilihan raya Cameron Highland, PAS membuat kenyataan terbuka menyokong calon Barisan Nasional. Mengapa kita menyokong calon Barisan Nasional? Dulu mereka lawan kita. Nabi bersabda

أحبب حبيبك هونا ما عسى أن يكون بغيضك يوما ما، وأبغض بغيضك هونا ما عسى أن يكون حبيبك يوما ما

Kasih kepada orang kena ada rizab, jangan kasih melampau. Boleh jadi orang yang kamu kasih jadi musuh kepada kamu suatu hari. Marah kepada seseorang, marah berpada-pada jangan habis. Boleh jadi orang yang kamu marah itu satu hari akan menjadi kawan kamu. Yang mesti diambil menjadi kawan kamu.

Tahukah cerita jatuhnya sepanyol ke tangan Kristian. Islam pernah memerintah Sepanyol selama 800 tahun, lebih lama daripada datangnya Islam kepada alam Melayu ini. Islam yang bertapak di Sepanyol selama 800 tahun jatuh dan tumbang. Jangan ingat Islam yang datang di Nusantara tak sampai 800 tahun boleh bertahan, kalau kita tidak faham, tidak sedar.

Apabila pihak Kristian mara nak menakluk Sepanyol, di masa itu daerah-daerah Sepanyol diperintah oleh raja-raja yang banyak, raja-raja Islam. Kerana raja Islam, Khalifah Sepanyol ini banyak anak. Anak-anak dilantik menjadi raja-raja wilayah. Setelah 400 tahun, Islam bertapak di Sepanyol, raja-raja Islam ni berkelahi sesama sendiri. Dalam perkara ini mereka sanggup menjemput orang kafir musuh Islam menolong untuk mengalahkan saudara seislamnya. Kerana nak menang, tidak kiralah dengan orang kafir pon haa(minta tolong).

Bila Sepanyol dalam keadaan bahaya setelah 400 tahun, raja-raja Sepanyol bermesyuarat, raja-raja Islam ni bermesyuarat. Ada cadangan jemput kerajaan Murabithun yang berkuasa di Morocco. Murabithun ialah kerajaan golongan Sufi yang berkuasa di Morocco.

Jemput tentera Murabithun untuk datang bantu kita pertahankan Islam di Andalus, Sepanyol. Ramai kalangan yang berkata, bahaya kita jemput tentera dari Morocco Walaupun dia Islam, dia datang, dia akan rampas kuasa. Jatuhlah takhta kita, tak jadi rajalah kita diambil kuasa. Seorang raja bernama Ibnu Abbas, menyampaikan ucapan,

“Biarkan raja Islam dari Morocco datang menakluk kita, memenangkan kita menjatuhkan takhta kita. Kita jadi gembala unta sahaja, gembala unta sahaja. Tetapi kalau Islam kalah, Kristian datang, jadi gembala babi kita. Mana suka nak jadi gembala unta dengan gembala babi?”

Ucapan yang menyedarkan menyebabkan mereka bersatu menjemput bala tentera Murabithun mempertahankan Andalusia, Sepanyol dan bertahan 400 tahun jadi 800 tahun. Ini ceritanya. Berbalahlah kita PAS dan UMNO ni, sama-sama melayu, berpecah dalam kampung, tidak boleh nak maaf antara satu sama lain. Biar orang lain memerintah. Ini penyakit!

Memang kita sedar kerajaan dulu ada silap, ada salah dia. Tetapi kewajipan kita mempertahankan kuasa Islam. Mempertahankan kuasa Islam! Biar kita jadi gembal lembu sahaha, jangan jadi gembala babi orang. Ini kena faham.

Kita perlu mengamalkan politik Matang dan Sejahtera. Politik melihat Feqah Awlawiyat, Feqah Keutamaan di antara perkara yang buruk, yang tidak boleh kita tolak, pilih yang paling ringan keburukannya. Kalau kita tidak mampu nak menegakkan yang paling baik. Ini diajar oleh hukum syarak. Jangan guna hukum akal.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulamak, yang merujukkan segala keputusannya mengikut hukum yang tertinggi dalam PAS, Quran, Hadis, Ijmak Ulamak dan Qias. Tugas kita sekarang mempertahankan Terengganu dan Kelantan yang sudah kita perintah. Pertahankan Kerajaan ini! Kalau ada salah silap, kita kena sabar. Selamatkan Islam yang memeritah ni. Kita bina balik kekuatan orang Islam.

Dan orang bukan Islam jangan takut, Islam menentang Asobiyah perkauman, Asobiyah perkauman. Tapi dalam masa yang sama Islam mesti mempertahankan kepimpinan, dan ketuanan Islam untuk memerintah negara. Ini dua perkara yang mesti difahami oleh orang Islam. Kalau orang Islam tidak faham, mereka berpolitik gila-gila. Direbahkan oleh orang bukan Islam. Hilang kehebatan Islam. Seperti diberi amaran oleh Nabi SAW,

سيأتي على الناس سنوات خداعات يصدق فيها الكاذب، ويكذب فيهاالصادق، ويخون فيها الأمين، ويؤتمن فيها الخائن، وينطق فيها الرويبضة

Kamu akan bertemu dengan tahun-tahun yang menipu kamu. Tahun-tahun yang menggoda di akhir zaman, akan tiba kamu hadapi orang yang benar dianggap bohong, orang yang bohong dianggap benar, orang yang amanah dikhianat, pengkhianat diberi amanah, orang yang jahil bercakap perkara yang besar dalam urusan umat dan agama.

Kita mengalami zaman fitnah. Marilah kita sama-sama mengaji, belajar supaya faham berkenaan ugama kita. Jangan mengaji dengan handphone, ni mengaji ikut handphone, ugama tak belajar, tengok WhatsApp, tengok Facebook. Buat keputusan, tidak tahu mana agama suruh, tidak tah mana agama larang. Musnahlah kita. Na’uzubillahi min zalik.

Saya rasa cukuplah dengan ucapan dan pesanan itu, untuk menginsafkan kita semua. Mudah-mudahan kita diberkati Allah dan dipelihara oleh Allah bersama dengan Islam.

وبالله التوفيق والهداية

و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Leave a Response