Transkrip Ucapan Perasmian Seminar Sejarah Pas Oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

share on:

TRANSKRIP UCAPAN PERASMIAN SEMINAR SEJARAH PAS OLEH DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Oleh: Asyraf Hanif

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام
وفضلنا على كثير من الأمم
والصلاة والسلام على رسول الله
وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ووالاه
أما بعد

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Surah ‘Ali-Imran

Firman Allah yang bermaksud, “Dan hendaklah ada daripada kalangan kamu orang-orang yang beriman itu, satu ummat (satu kumpulan,satu jemaah) yang bercirikan, berdakwah kepada kebajikan (Islam yang menyeluruh), menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan dunia dan akhirat.

Yang dihormati Pengerusi Majlis, Yang Berhormat Timbalan Presiden, Dato’ Setiausaha Agong, Ketua Dewan Ulamak, Ketua As-Sabiqun, Pengerusi Seminar Dr. Zuhdi Marzuki, semua pimpinan dan tokoh-tokoh veteran PAS, hadirin hadirat yang dihormati dan dikasihi sekalian.

Sebenarnya, para ulamak yang bermuzakarah membuat keputusan menubuhkan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu atau Se-Malaya disebut PAS pada hari ini, adalah menunaikan perintah wajib daripada Allah SWT. Perintah yang dijahilkan oleh majoriti umat Islam, diketahui oleh para ulamak dan pemikir-pemikir Islam bahawa wujudnya kumpulan Islam adalah menyambung kepada kerasulan selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW.

Ajaran Islam yang berterusan sehingga akhir zaman ini, wajib disambung oleh kumpulan Islam walaupun secara fardu kifayah. Tapi menjadi fardu ‘Ain kepada tiap-tiap orang yang mengetahui dan faham dalam perkara ini. Kepada orang Melayu fardu kifayah ni tak lebih kepada sembahyang jenazah. Mereka lupa kewajipan menegakkan Islam yang wajib disambung selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Allah ta’ala telah menetapkan secara wahyu, ditafsirkan oleh Al-Quran, ditafsirkan oleh hadis-hadis Nabi SAW, ditafsirkan oleh para Ulamak. تفسير القرآن بالقرآن (Quran menafsirkan Al-Quran). Di samping hadis menafsirkan Quran, Ulamak menafsirkan Quran.

Allah S.W.T. bukan sahaja memerintah wajib, وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ, dan hendaklah ada daripada kamu, dimana ayat ini didahului oleh يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا (wahai orang-orang yang beriman). Hendaklah ada daripada kamu wahai orang-orang yang beriman satu ummah. Perkataan أُمَّةٌ dalam Quran mengandungi berbagai-bagai makna mengikut tempat letaknya dalam ayat yang disebut. أُمَّةٌ dengan makna seluruh umat manusia, أُمَّةٌ dengan makna seorang tokoh yang besar (Ibrahim A.S), أُمَّةٌ dengan makna agama dan أُمَّةٌ dengan makna kumpulan ataupun parti. Ummah (أُمَّةٌ) yang dimaksudkan dalam ayat yang dimuqoddimahkan dengan makna kumpulan ataupun parti, yang dihuraikan ciri-ciri dan sifat-sifatnya.

Yang pertama يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ (yang berdakwah kepada kebajikan). Para ulamak menafsirkan الْخَيْرِ ialah seluruh ajaran islam (الدين). Jemaah itu mestilah bertajukkan ad-deen,Islam yang sempurna, yang cukup lengkap, yang terkandung dalam seluruh kehidupan manusia. Bukan sahaja hubungan dengan tuhan, termasuk hubungan dengan masyarakat, dengan dunia termasuk politik, ekonomi dan lain-lain.

Jemaah itu mestilah bertajuk Islam yang sempurna. Jemaah yang tidak membawa tajuk Islam yang sempurna, menyeleweng daripada Al-Quran, menyeleweng daripada ajaran Nabi. Mestilah Islam yang menyeluruh.

Yang kedua أمر معروف dan نهي منكر. Membawa risalah Islam itu dengan perintah menyuruh dan mencegah. Dihuraikan oleh hadis Nabi SAW,

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان

“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat perkara mungkar, hendaklah mengubah dengan tangan, jika tak mampu dengan lidah, tak mampu benci dalam hati menunjuk rasa, benci dalam hati itu selemah-lemah iman.”

Kalau tiada rasa dalam hati bencikan kemungkaran, tiada iman maknanya walaupun sebesar habuk yang halus, itu maknanya. Setinggi-tinggi amar makruf itu ialah kuasa politik, menegakkan negara yang berdaulat, negara yang memerintah dengan syariat Allah SWT yang adil. Kewajipan yang diisytiharkan oleh Allah kepada para malaikat apabila mencipta Adam a.s.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ

“Dan ingatlah apabila Tuhanmu berkata kepada para malaikat, “Aku hendak ciptakan makhluk yang menjadi Khalifah di atas muka bumi”.

Bukan sekadar beribadat, menjadi khalifah. Khalifah itu ialah politik, memerintah negara. Dihuraikan oleh ayat-ayat Al-Quranul Karim, mengisahkan semua rasul-rasul A.S. berdakwah dan berpolitik. Rasul-rasul itu bukan sahaja berdakwah mengajak manusia kepada Islam, rasul-rasul juga mengajak kerajaan di zaman masa itu memerintah dengan Islam, Politik maknanya.

Sabda Rasulullah SAW,

كَانَت بَنُو إسرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبياءُ

“Adalah Bani Israil yang menjadi pemimpin siyasah mereka ialah Nabi-nabi A.S.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Siyasah, “ساس – يسوس – سياسة”, siyasah itu politik. Disebut dalam sahih Bukhari, menunjukkan Rasul itu berpolitik. Ada rasul yang berjuang menghadapi pemerintah yang zalim di zamannya, tidak sempat melihat kemenangan. Ada rasul yang berjaya menegakkan negara (Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Muhammad SAW), ada rasul yang tidak sempat menegakkan negara disambung oleh pengikut-pengikutnya, oleh rasul yang kemudian dari mereka. Menunjukkan bahawa kumpulan Islam itu mestilah bercirikan dakwah dan politik. Tidak menjadi salah kalangan yang nak berdakwah sahaja mengikut kemampuan, tidak menjadi salah kalangan yang nak berjihad dalam ekonomi sahaja, itu kebolehannya sahaja. Tetapi salah kalau mengatakan politik tiada dalam Islam, sesat! Kalau mengatakan politik tiada dalam Islam.

Ulamak-ulamak yang menubuhkan parti PAS adalah membawa agenda dakwah dan politik, kedua-duanya sekali, kerana Islam yang datang ke Nusantara ini bukan sahaja Islam yang mengIslamkan manusia termasuk Islam yang mengislamkan kerajaan yang memerintah di Nusantara ini. Penjajah yang datang mengacau, penjajah yang menghancurkan pemerintahan Islam. Walaupun pemerintahnya dijatuhkan, cahaya islam tidak dipadamkan. Akan ada jemaah yang melangsungkan perjuangan Islam. PAS adalah mata rantai jemaah ini. Perjuangan menentang penjajah, Perjuangan Islam tidak bermula dengan PAS. PAS adalah mata rantai yang menyambung perjuangan Islam.

Sebaik sahaja Portugis datang menakluk Melaka 1511, umat Islam Nusantara bangkit menentang penjajah, Berjihad! Bila penjajah menubuhkan Syarikat Hindia British, Syarikat Hindia Belanda, mereka menubuhkan Sarekat Islam untuk menghadapi Syarikat British dan Belanda. Itu politik! Diharamkan oleh penjajah, disambung oleh kumpulan Islam yang ditubuhkan selepas daripada itu.

PAS adalah mata rantai. Walaupun medan politik medan yang sangat mencabar, menyebabkan orang takut nak terlibat. Takut cerita lain. Kalau kamu takut nak berpolitik, jangan kata Islam tiada politik! Silapnya dia takut, dikatakan Islam tiada politik. Ini satu kesesatan! Yang dibawa penjajah. PAS terpaksa menanggung untuk menghadapi kesesatan ini.

PAS memilih demokrasi. Mengapa memilih demokrasi? Asal demokrasi daripada barat. Tak dinafikan. Tetapi mengislahkan demokrasi oleh barat dipengaruhi oleh Feqah politik Islam.

Islam mengajar bagaimana memilih pemimpin selepas wafatnya Nabi SAW. Orang Eropah tidak tahu pilihan raya. Bila mereka tidak puas hati dengan kerajaan, berlaku Revolusi England, Revolusi Perancis, revolusi di negara-negara barat. Berperang untuk mengubah kerajaan.

Adapun orang Islam, memilih pemimpin secara Syuura, secara permesyuaratan, melibatkan pemimpin-pemimpin rakyat di kalangan Muhajirin dan Ansar, Ahlul Hilli wal ‘Aqdi, mereka yang mempunyai ilmu dan mempunyai pengaruh di dalam masyarakat, memilih pemimpin di kalangan umat Islam. Ditulis oleh Ulamak-ulamak di dalam kitab Feqah, secara berselerak dan secara khusus. Ada Ulamak yang menulis di dalam kitab ‘Aqidah, Imam Ghazali menulis bab Siyasah dalam kitab ‘Aqidah (الاقتصاد في الاعتقاد). Kerana ada orang Islam yang menyeleweng Aqidahnya dengan sebab menolak politik.

Imam Ghazali memilih الإمامة dalam kitab Aqidah, kerana ada orang Islam yang sudah melampau. Tidak dinafikan membersihkan diri daripada najis sebahagian daripada Islam, tidak dinafikan sekali-kali. Walaupun tiada dalam rukun Islam, tiada dalam dua kalimah syahadah, menjadi sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib dihayati dan diimani oleh orang Islam. Perkara syariat tidak berpisah dengan perkara Aqidah.

Ulamak-ulamak memilih demokrasi setelah diharamkan Sarekat Islam, diharamkan Hizbul Muslimin, ditubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya sebagai satu NGO apabila British mengura-urakan untuk mengadakan pilihan raya pada tahun 1955. Pemimpin PAS membuat keputusan untuk mendaftarkan PAS sebagai satu parti politik untuk bertanding di pilihan raya.

Apa yang menarik ialah PAS terlibat dengan masyarakat majmuk. Bukan sahaja orang Islam termasuk bukan Islam di dalam politik. Almarhum Dr. Haji Abbas Alias, Yang Di Pertua PAS yang ke 2 menceritakan kepada saya. Bila beliau mengambil alih PAS selepas Haji Ahmad Fuad tidak menjadi Yang Di Pertua lagi, beliau menjadi Yang di Pertua PAS. PAS nak masuk pilihan raya, PAS mesti didaftarkan menjadi parti politik. Dr. Haji Abbas pergi ke pejabat mendaftarkan pertubuhan di Kuala Lumpur. Zaman British! Ketuanya orang British. Timbalannya orang India, Hindu. Seorang Hindu! Bukan Islam. Kebetulan dia ditolong oleh Dr. Haji Abbas, menyelamatkannya dari hukuman mati di zaman Jepun. Kebetulan ketuanya orang putih tiada, yang ada hindu timbalannya. Bila melihat Dr. Haji Abbas yang datang, yang pernah menyelamatkan dia daripada hukuman pancung, gambarkanlah gembiranya dia, “Terima Kasih. Mengapa Dr. datang”. “Saya nak daftar PAS jadi parti politik nak masuk pilihan raya”. Orang putih tiada. India tu terus sign, terus lulus PAS jadi parti politik masuk pilihan raya. Dibantu oleh seorang Hindu, bukan Islam, yang pernah ditolong oleh Dr. Haji Abbas Alias. Itu sejarah.

Menunjukkan politik Islam ada hubungan dengan masyarakat majmuk, dan kita masuk pilihan raya. Mengalami zaman pasang dan surut, menang dan kalah perkara biasa, tetap memilih pilihan raya juga. Menang di Kelantan, Terengganu, dijatuhkan Kerajaan. Kita tetap pilih pilihan raya. Menang lagi, kalah lagi. Kita memilih demokrasi kerana pendekatan yang paling baik menghadapi rakyat, umat dalam negara yang satu ialah pendekatan damai, bukan pendekatan keras dan berat.

Kita saksikan bagaimana pendekatan keras dan perang dalam satu bangsa dan umat mencetuskan perang sesama sendiri, mengundang campur tangan asing untuk menghancurkan negara. PAS tidak penakut dalam perjuangannya. Orang PAS lebih dulu kena ISA. ISA tu perkara biasa dalam PAS, dibuang daerah. Yang penting ialah punya ketahanan beristiqomah dengan perjuangan, melangsungkan perjuangan. Menghadapi fitnah, menghadapi mehnah.

Kita mencapai ke tahap yang ada pada hari ini, mencapai jumlah keahlian yang mencecah satu juta. Kawasan 190 lebih kawasan di seluruh negara. Parti lain tiada kawasan sebanyak itu. Kita ada jentera, ada akar umbi, kita tegak dengan Islam yang kita perjuangkan.

Kita boleh bertahalluf bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang sanggup bekerjasama dengan kita untuk membuat perubahan dalam politik negara. Tapi jangan kacau Islam yang kita perjuangkan, jangan ganggu Islam yang kita perjuangkan. Bila Islam disentuh, kerjasama tiada dengan siapa sahaja, samada pendekatan tahalluf persefahaman ataupun ta’awun tolong menolong. Islam adalah tonggak yang sangat penting.

Hari ini kita menyaksikan kegagalan ideologi-ideologi ciptaan manusia di seluruh dunia, kegagalan undang-undang ciptaan manusia di seluruh dunia. Banyak pengamat-pengamat politik mengatakan kali ini masa depan untuk Islam. Bukan sahaja pengamat-pengamat Islam, masa depan untuk islam ini, termasuk Henry Kissinger, Huntington dan lain-lain, pemikir-pemikir barat yang mengatakan bahawa Islam ini walaupun tidak ada negara yang melindunginya, ajarannya tidak mungkin dipadamkan.

Kita menyaksikan kebangkitan Islam terserlah di seluruh pelusuk dunia, bukan sahaja di negeri-negeri umat Islam, termasuk di negara barat yang pernah menjajah umat Islam. Mereka menjajah umat Islam, menghentam Islam habis-habisan, muncul Islam di tempat mereka sendiri. Russia, di Asia Tengah, di Eropah, di Amerika, mereka tidak boleh menghalang kemunculan Islam.

Ini menjadi petanda yang baik. Menambahkan lagi keyakinan kita terhadap Islam yang kita perjuangkan. Bukan sahaj wawasan akhirat, janji Allah yang kita yakin termasuk wawasan dunia yang juga janji Allah yang kita yakini.

Seminar yang dianjurkan pada hari ini ialah untuk memperkasakan kefahaman kita berkenaan PAS dan Islam secara menyeluruh. Mudah-mudahan dengan maklumat-maklumat yang terkini, yang dihasilkan dan dibentangkan dalam seminar ini menambahkan kefahaman dan keyakinan kita kepada perjuangan ini. In shaa Allah

Saya ucapkan syabas kepada As-Sabiqun yang menganjurkan seminar ini, satu langkah yang pro aktif untuk menyemangatkan generasi muda yang menyambung perjuangan ini. Mudah-mudahan benih yang kita tanam pada hari ini, tidak semestinya kita sempat dengan buahnya tapi pasti berbuah. Maka dengan lafaz بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ, saya rasmikan seminar.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Leave a Response