Silap tafsir Rahmatan lil alamin boleh jadi Rahmatan lil kafirin: Mufti Terengganu

share on:

Silap tafsir Rahmatan lil alamin boleh jadi Rahmatan lil kafirin: Mufti Terengganu

KUALA LUMPUR – Tidak mustahil Rahmatan lil alamin boleh menjadi Rahmatan lil kafirin, sekiranya maksud berkenaan silap difahami dan ditafsirkan tanpa hukum Islam, kata Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda.

Beliau menegaskan, Rahmatan lil alamin bukanlah sesuatu yang bersifat idea atau nilai, sebaliknya ia serangkai dengan hukum Islam.

Dr Zulkifly berkata, kesilapan mentafsir maksud Rahmatan lil alamin sebagai nilai-nilai tanpa hukum, akan mewujudkan sekular baharu.

“Ingat, ia boleh menjadikan rahmat kepada orang kafir dan celaka kepada orang Islam kalau kita silap memahami dan mentafsirkan rahmatan lil alamin.

“Bagi liberal dan sekular, yang penting rahmat dan keharmonian, tetapi hukum tidak penting. Itu salah, itu adalah nilai. Apabila Rahmatan lil alamin dilihat sebagai nilai, itu dikira sekular baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Malaysia Negara Islam: Wilayah Yang Wajib Dipertahankan pada Konvensyen Pertahankan Wilayah Islam (Pertiwi) 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia tetap kekal sebagai sebuah negara Islam berdasarkan rekod daripada pengkaji bahawa kedaulatan Islam telah wujud dan dilaksanakan di rumpun Melayu.
Malah katanya, Fatwa Kebangsaan 1988 juga telah menyatakan dengan jelas bahawa negara ini adalah negara Islam, tanpa perlu dipertikaikan lagi.

“Negara Islam adalah zahir syiar Islamnya, maka Malaysia adalah antaranya kerana kita tidak susah ingin solat dan mendapatkan masjid. Ini bermakna, syiar Islam itu melampau wujudnya walaupun hukum Islam masih terpencil.

“Kewujudan Islam juga ada termaktub dalam Perlembagaan menjadikan ia lebih kuat berada di bumi Malaysia,” katanya.

Forum berkenaan turut menampilkan Pensyarah Kanan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz dan Ketua Penyelidik Pusat Kajian dan Peradaban Ummah, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman. – ismaweb

Rakaman – https://www.youtube.com/watch?v=xzRqB72d5as

www.indahnyaislam.my

Leave a Response