Umno Akan Beri Kuasa Lebih Kepada Disiplin Untuk Tangani Rasuah

share on:

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berikrar akan menjadikan parti itu sifar rasuah.

Menurutnya, politik wang hanya akan menghancurkan parti Melayu itu.

“Sesungguhnya taat dan setia kepada pemimpin bukannya kepada parti seringkali membentuk budaya ‘warlord’. Inilah punca utama masalah politik wang.

“Sebagai presiden, saya komited menjadikan Umno sebagai sebuah parti sifar rasuah. Politik wang boleh menghancurkan parti, juga akan menyebabkan ahli salah memilih pemimpin. Politik wang juga meracuni kita menjadi individu yang gemarkan rasuah dan habuan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan  Agung Umno (PAU) 2018, hari ini.

Sesuai ikrarnya itu, Ahmad Zahid mengumumkan penstrukturan semula Lembaga Disiplin Umno.

“Kita akan menstruktur semula Lembaga Displin parti untuk diberi lebih kuasa dan sebagai sebuah badan bebas. Peranan lembaga ini akan diangkat menjadi lebih berwibawa dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan.

“Lembaga ini akan dianggotai oleh ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu. Setuju?,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu perwakilan membahaskan soal cadangannya agar jawatan presiden parti dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Selain itu, beliau mahu senarai pengkalan data ahli dikemaskini bagi memastikan ahli yang berkualiti dan setia sahaja dalam parti.

“Sehubungan dengan itu, saya mengarahkan agar pemutihan ke atas senarai pangkalan data ahli-ahli dikemaskinikan segera.

“Kita tidak perlu berbangga dengan ahli yang ramai tetapi tidak setia namun kita mahukan ahli yang berkualiti dan setia kepada parti. Saya mencadangkan agar Badan Perhubungan Negeri dan Umno Bahagian diberi kuasa untuk pelaksanaannya,” katanya.

Leave a Response