Sebat: Penafsiran Agama Yang Sempit?

share on:

Sebat: Penafsiran Agama Yang Sempit?

1. Telah kita bincangkan semalam bahawa asas perlaksanaan hukuman sebatan di hadapan khalayak adalah seperti yang disarankan di dalam al-Quran sendiri. Setiap sarjana Muslim mungkin mempunyai pandangan dan penafsiran yang berbeza, namun melemparkan perkataan “sempit” pada pengendali sebuah institusi perundangan adalah tidak wajar.

2. Saranan supaya perlaksanaan hukuman ini disaksikan oleh khalayak adalah berasaskan daripada al-Quran sendiri. Firman Allah:

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “…maka hendaklah sekelompok manusia dari kalangan orang beriman menyaksikan hukuman keduanya (penzina lelaki dan perempuan).” (Surah al-Nur: 2)

3. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Ibn Asyur menjelaskan bahawa arahan bagi sebahagian mukminin menyaksikan hukuman ini adalah bagi menimbulkan rasa takut untuk melakukan kesalahan. Ini sekaligus menghidupkan rasa bimbang untuk melakukan dosa dan menjauhkan diri dari mendekati perlakuan mungkar. Ia bertepatan dengan maqasid hukuman itu sendiri iaitu mendidik manusia supaya menjauhi perbuatan yang dilarang (Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir).

4. Oleh kerana pentingnya menanamkan rasa sedar dan insaf di kalangan masyarakat, Mazhab Hanafi dan Hambali berpandangan bahawa hukuman sebat mesti dilaksanakan dihadapan khalayak seperti yang dizahirkan di dalam ayat al-Quran di atas. Manakala Mazhab al-Shafi’i dan Maliki pula berpandangan bahawa memadai dengan kehadiran empat orang saksi yang menyaksikan hukuman tersebut. [al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (5391/7) oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili (w.1436H)]

5. Jadi, apakah hikmah hukuman ini dilaksanakan dihadapan khalayak?

5.1 Menurut Ibn Kathir, tindakan ini adalah bagi meningkatkan rasa kesedaran masyarakat setelah menyaksikan sendiri apa yang berlaku di hadapan mata mereka. Ia akan tersemat sebagai satu peringatan buat mereka (Tafsir al-Quran al-Azim). Sebatan di tubuh pesalah hinggap di hati masyarakat.

5.2 Al-Imam al-Baidawi pula memberikan pandangan yang agak menarik. Pendedahan hukuman terhadap khalayak ini adalah lebih utama dari sebatan itu sendiri. Ini adalah kerana, menurut beliau, hukuman yang diberikan tidaklah memberikan kesakitan yang berat terhadap fizikal. Namun pendedahan perlaksanaan hukuman ini telah menjadi satu tamparan hebat yang menempelak hati pesalah serta membangun jiwa yang menyaksikan agar lebih segera menjauhi kemungkaran dan mendekati keinsafan. (Tafsir al-Baidawi)

Hukuman bertujuan mendidik hati dan membangun jiwa. Bukan menyeksa fizikal serta merendah kemanusiaan.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Berita asal: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/09/374336/perundangan-agama-ditafsir-secara-sempit-anwar

Lihat juga: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/hukuman-sebat-di-khalayak-ramai-sukar-diterima-anwar-ibrahim-184705

Lihat juga: https://www.malaysiakini.com/news/441667

Leave a Response