Isu DAP dan IRI: UMMAH Kedah Mohon Mengadap Yang Dipertuan Agong

share on:

Isu DAP dan IRI: UMMAH Kedah Mohon Mengadap Yang Dipertuan Agong

Oleh : UMMAH Kedah

Pengakuan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa partinya ada hubungan dengan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) seperti yang dilaporkan oleh beberapa media cetak dan online beberapa hari lepas amat mengejutkan UMMAH Kedah dan masyarakat sivil di negara ini.

Pengerusi UMMAH Kedah, Noor Hakimi Ab Halim berkata, kami berpendirian bahawa tindakan DAP tersebut adalah amat tidak wajar dan keterlaluan serta bertentangan semangat patriotik kepada negara, ia sekaligus boleh mengundang ancaman menggugat keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara serta mengkhianati Raja-Raja Melayu.

Katanya, UMMAH Kedah mendesak pihak berwajib khusus Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan tindakan segera melakukan siasatan mengenalpasti status hubungan DAP dan IRI tersebut.

UMMAH Kedah dalam masa terdekat akan membuat permohonan mengadap Raja-Raja Melayu dan Ke Bawah Duli Yang DiPertuan Agung untuk menyampaikan memorandum berkaitan isu tersebut dan minta Majlis Raja-Raja Melayu dapat mengambil perhatian serius tentang isu kaitan DAP dan IRI kerana ia merupakan isu campurtangan pihak asing di dalam menentukan kuasa politik dan pemerintahan dalam negara, sekaligus tindakan DAP tersebut ialah suatu pengkhianatan kepada Raja-Raja Melayu selaku tunggak dalam sistem pemerintah berperlembagaan di negara ini.

Katanya lagi, UMMAH Kedah amat bimbang dengan tindakan DAP kerana ia boleh menjebak Malaysia ke dalam agenda pihak asing seperti mana yang berlaku di beberapa negara Islam lain iaitu Yemen, Libya, Iraq dan Syria. Dalam pelbagai laporan sebelum ini menyebutkan bahawa IRI dituduh sebagai dalang utama campur tangan dan menyokong pihak pembangkang dan pemimpin rampasan kuasa yang berlaku di Honduras, Haiti, Cuba, Mesir dan Tunisia”.

Noor Hakimi menambah, isu campurtangan pihak asing termasuk IRI dalam hal politik adalah sangat merbahaya dan tidak boleh dipandang ringgan ia perlu disiasat dengan terperinci, jika disabitkan dengan bukti bahawa DAP mengkhianati negara, maka parti tersebut hendaklah diharamkan serta-merta dan pemimpin mereka perlu didakwa dengan segera di bawah undang-undang yang berlaku di Malaysia, tegasnya.

“Jangan tunggu sehingga nasi menjadi bubur, baru tergesa-gesa mahu di ambil tindakan. Ketika itu sudah tidak berguna lagi. Hal berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara, bukan perkara yang boleh dikompromi kerana ia mengundang mala petaka yang dahsyat seperti ditanggung oleh lapisan rakyat di beberapa negara Islam di Asia Tengah pada hari ini, ujarnya.

UMMAH Kedah konsisten di atas matlamatnya iaitu tegas mempertahankan kedaulatan negara termasuk Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam, Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera dan lain-lain perkara yang menjadi asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

10 OGOS 2018 / 28 ZULKAEDAH 1438

Leave a Response