Letak Jawatan, Buktikan Rakyat Pilih Beliau Kerana Dirinya

share on:

Letak Jawatan, Buktikan Rakyat Pilih Beliau Kerana Dirinya

Oleh Lokman Adam
1hb Julai, 2018

Alhamdulillah, pemilihan UMNO telah berjalan dengan lancar dan teratur semalam. Buat pertama kalinya sejak lebih 31 tahun yang lalu, perwakilan UMNO Cawangan diseluruh negara diberikan kuasa untuk memilih Presiden dan Timbalannya sendiri. Berakhirlah legasi pemerintahan Kuku Besi Mahathir Mohamad yang telah mengunci mati semua ruang bagi ahli parti memilih Presidennya secara demokrasi.

Malangnya, apabila wujud pertandingan, sudah pasti ada pihak yang gembira, dan ada pihak yang berdukacita apabila mereka dan orang yang mereka sokong tewas dalam pemilihan semalam. Sungguhpun begitu, seharusnya kita berlapang dada dan menghormati keputusan perwakilan dari Cawangan dengan hati yang terbuka. Bagus macamanapun kita, terpulanglah kepada perwakilan samada mahu menerima kita atau tidak. Kalau khidmat kita diterima, Alhamdulillah, kalau khidmat kita belum diperlukan, kita usahalah untuk membantu parti melalui cara lain atau tunggu lagi 3 tahun untuk menawarkan diri sekali lagi.

Apa yang menyedihkan saya, pemilihan parti kita digunakan oleh insan-insan yang lemah daya juangnya untuk digunakan sebagai alasan bagi meninggalkan parti. Jika sebelum ini Ahli Parlimen Bagan Serai dan Bukit Gantang telah meninggalkan Parti untuk menjadi MP Bebas, hari ini Mas Ermieyati, MP Masjid Tanah pula keluar parti menggunakan alasan pemilihan kita semalam menunjukkan ahli UMNO masih dalam “sindrom penafian”.

Ermie kononnya kecewa kerana UMNO gagal memilih sekurang-kurangnya 70% muka baru di pelbagai peringkat. Mungkin Ermie lupa bahawa UMNO satu-satunya parti di bumi Malaysia ini yang melibatkan sekitar 150,000 orang pemilih? Adakah ahli tidak berhak memilih campuran muka lama dengan muka baru? Adakah demokrasi hanya wujud dan ahli dianggap tidak lagi dalam “sindrom penafian” jika mereka memilih calon yang Ermie idamkan atau idolah ayah beliau.

Sebagai seorang bekas Ketua Puteri dan Ahli Parlimen penggal kedua, Ermie sewajarnya memberikan alasan yang lebih matang. Ermie sudah pasti tahu bahawa kemenangan beberapa tokoh lama termasuk mereka yang juga mempunyai imej yang tercalar akibat fitnah dan persepsi yang berjaya diwujudkan oleh musuh adalah kerana khidmat bakti mereka selama ini kepada parti. Bukan semua ahli parti jenis lupa diri dan tidak mengenang budi. Apa guna kalau kita pilih semuanya muka baru, tapi mempunyai mentaliti dan pemikiran yang lama. Dan apa salahnya jika kita pilih orang lama yang bersedia untuk mendengar pandangan orang muda dan mengubah pendekatan parti supaya boleh diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Namun apa yang saya tidak boleh terima sama sekali ialah kenyataan Ermie bahawa kami masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak UMNO. Kemenangan Ermie itu sendiri bersama 53 MP UMNO lain adalah bukti jelas bahawa UMNO masih merupakan parti yang berjaya memenangi kerusi terbanyak di Parlimen dan pilihan utama rakyat pelbagai latarbelakang serta pelbagai peringkat umur. Tidak perlu saya berhujah dengan panjang lebar untuk membuktikan bahawa dakwaan saya benar dan Ermie telah jelas menipu dirinya sendiri.

Hanya ada satu cara untuk membuktikan bahawa Ermie berkata benar, kononnya UMNO TELAH DITOLAK RAKYAT. Ermie Perlu meletakkan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen dan menyerahkan kembali keputusan ditangan rakyat untuk menunjukkan samada benar atau tidak UMNO telah ditolak oleh rakyat seperti dakwaan beliau. Jika berlaku pilihanraya kecil, Ermie boleh pilih untuk bertanding sebagai calon bebas atau PPBM.

Saya akan mencadangkan kepada Presiden UMNO, agar Barisan Nasional tidak meletakkan calon pada PRK tersebut. Sebaliknya, UMNO patut bertanding dengan menggunakan lambangnya sendiri dalam pilihanraya tersebut. Hanya melalui cara ini rakyat dapat menilai samaada UMNO benar-benar telah ditolak rakyat atau tidak. Namun apakan daya, Ermie sendiri sedar bahawa kalau Umno letak ”tunggul kayu” sekalipun, Ermie tidak mampu meraih lebih dari 1000 undi jika bertanding atas tiket bebas.

Lebih malang, bukan sekadar Ermie sudah pasti tidak berani menyahut cabaran saya ini, kalaupun beliau sanggup, tentu Tun Mahathir tidak akan mengizinkan beliau. Ini adalah kerana, jika Ermie mengosongkan kerusi tersebut, ianya akan menjadi kayu pengukur pendirian rakyat pasca PRU14. Tun Mahathir sedar bahawa sebahagian besar rakyat negara ini sudah tidak sabar untuk menghukum Pakatan Harapan yang telah banyak memungkiri janji pilihanraya dan mengkhianati agama, bangsa dan raja-raja Melayu.

LOKMAN NOOR BIN ADAM
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Leave a Response