Daulah Islamiyah Melayuwiyah Siri 2

share on:

Daulah Islamiyah Melayuwiyah Siri 2

KERAJAAN-KERAJAAN MELAYU PRA-ISLAM

SEBAGAIMANA yang diungkap oleh Snouck Hurgronje dalam teori The Greater India, semenjak awal abad pertama Masehi, seluruh Alam Melayu dipengaruhi oleh India dari segi pemikiran, kebudayaan, agama dan tamadun. Faktor utamanya adalah kerana hubungan perdagangan yang lama antara kedua-dua kawasan, selain kedudukan India yang lebih terkehadapan dari segi budaya dan ilmu, terutama dengan munculnya tamadun besar di Lembah Indus, iaitu Mohenjo Daro (2600-1500SM) dan Harappa (3000-1900SM). Lembah Indus yang menjadi pusat agama Hindu kemudiannya menyebarkan kebudayaan mereka termasuk bahasa Sanskrit, tulisan Palava, sastera India, corak kerajaan dan agama Hindu itu sendiri kepada orang Melayu.

 

Satu aspek yang penting dalam perkembangan kebudayaan dan tamadun Melayu ialah kebangkitan yang berteraskan agama. Disebabkan hubungan dan pengaruh India, kerajaan-kerajaan yang berkembang pada peringkat awal adalah mengikut agama orang India. Dalam sejarah India, selepas kemerosotan tamadun Indus, muncul beberapa kerajaan Hindu seperti Weda (1700-600SM), Mahajanapada (600-300SM), Nanda (400-300SM) dan Mauriya (332-185SM). Kemudian, berlaku kebangkitan Buddha apabila kerajaan Maghada dan Kalasoka muncul pada tiga abad terakhir SM, sehingga melahirkan tokoh besarnya, Ashoka (269-232SM). Kerajaan-kerajaan Satawahana (230-199SM), Kushan (30-375M), Gupta (240-550M) dan Pala (750-1174M) adalah antara kerajaan Buddha yang terbesar di India. Dalam pada itu, sekitar abad keempat Masehi, di selatan India bangkit kerajaan Chola (300-1279M) yang beragama Hindu, yang mula menjadi empayar besar pada abad kesembilan, telah mengubah semula India menjadi benua Hindu dan pernah menyerang kawasan Buddha di Nusantara termasuk Tanah Melayu dan Sumatera (Sriwijaya) pada 1025M. Selepas zaman ini, India dikuasai pula oleh Islam dengan kemunculan kerajaan Ghaznawi (962-1186M), Ghori (1186-1287M), Delhi (1290-1526M) dan Mughal (1526-1857M).

 

Kerajaan-kerajaan Melayu Yang Awal

Ketika bangsa Melayu mulai menjadi kerajaan yang besar, pengaruh Hindu sudah mulai merosot dan agama Buddha sedang berkembang. Kerajaan Melayu terawal yang muncul ialah Funan (100-545M) dan Champa (192-1832M) yang berpusat di Indo-China. Setelah itu muncul beberapa kerajaan seperti Langkasuka (abad 2-14M), Tambralinga (abad 7-14M), Kedah Tua (abad 5-11M), Pan-pan (abad 3-5M), Chih-tu (abad 2-7M), Tan-tan (abad 5-7M) dan Ganga Negara (abad 2-11M) di Tanah Melayu. Dalam tempoh-tempoh tertentu, dikatakan kerajaan-kerajaan ini pernah bergabung membentuk beberapa kerajaan besar seperti Empayar Sampugita, Jawaka dan Malaiyur.

Di kawasan kepulauan, kerajaan terbesar yang pernah muncul ialah Seriwijaya yang beragama Buddha dan Majapahit, sebuah kerajaan Hindu. Antara kerajaan lain yang terkenal termasuklah Salakanagara (abad 2M), Kutai (abad 4M), Tarumanagara (358-669M), Sunda Galuh (669-1579M), Sailendra (abad 8-9M), Kanjuruhan abad 8-9M), Medang (752-1045M), Kadiri (1045-1221M), Singasari (1222-1282), Pajajaran (1482-1579), Dharmasraya (abad 12-14M) dan lain-lain. Kebanyakan kerajaan ini adalah beragama Hindu dan Buddha sepanjang satu alaf (1-1000M), sehinggalah muncul Majapahit pada 1293M yang memacu semula pengaruh Hindu di Nusantara, setelah lebih 500 tahun dikuasai oleh Seriwijaya sejak abad ketujuh Masehi yang mengembangkan agama Buddha.

 

Kerajaan-kerajaan Utama dan Kebangkitan Islam

Di samping munculnya kerajaan-kerajaan Hindu-Buddha di seluruh Nusantara sepanjang 12 abad pertama Masehi, terdapat beberapa kerajaan utama atau empayar Melayu yang menguasai politik dan ekonomi Nusantara. Antaranya ialah Funan (100-545M). Funan yang terletak di Lembah Mekong (sekarang Vietnam) menguasai kawasan Indo-China hingga utara Tanah Melayu. Serentak dengan Funan, muncul kerajaan Langkasuka di Semenanjung Tanah Melayu dan berpusat di Segenting Kra pada abad kedua Masehi yang menguasai Laut China Selatan di sebelah timur dan Selat Melaka di barat. Pada ke-12, ia telah menjadi naungan Seriwijaya. Selepas kejatuhan Funan pula, di Sumatera telah muncul kerajaan Seriwijaya sekitar 670-1183M. Kerajaan Buddha ini menguasai semua laluan perdagangan utama Asia Tenggara kerana kedudukannya di antara Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan. Selepas jatuhnya Seriwijaya kerana serangan kerajaan Chola pada 1025M, kerajaan Hindu Majapahit muncul di Pulau Jawa dan menguasai hampir seluruh Asia Tenggara sepanjang abad ke-14 dan 15 Masehi.

 

Memasuki abad ke-11M, Nusantara mulai menerima Islam sebagai kebudayaannya yang baru. Serentak dengan berkembangnya Islam di India pada abad ke-10M, kerajaan-kerajaan baru yang beragama Islam muncul, bahkan di sesetengah tempat, kerajaan Hindu dan Buddha telah bertukar menjadi kerajaan Islam. Kerajaan Islam terawal muncul ialah Perlak pada 840M, Kelantan (1181M), Ternete (1257M), Samudera-Pasai (1267M) dan Champa (1360M) sebelum Melaka menjadi pusat pengembangan agama Islam pada abad ke-15. Sejak munculnya kerajaan Melaka pada 1400M, penguasaan politik Nusantara telah beralih kepada Islam dan Majapahit mulai mengalami kemerosotan dan digantikan oleh kerajaan Demak (1475-1554M) yang beragama Islam. Di utara semenanjung, kerajaan Langkasuka telah digantikan oleh kerajaan Pattani dengan peng-Islaman raja Pya Tu Nakpa pada 1457M. Abad ke-15M menjadi abad peralihan tamadun Nusantara ekoran kebangkitan Islam sebagai cara hidup yang baru bagi orang Melayu.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
3 Syawal 1439 / 17 Jun 2018

Leave a Response