PM, Kabinet, Ketua Institusi Perlu Isytihar Harta – Akhbar Satar

share on:

PM, Kabinet, Ketua Institusi perlu isytihar harta – Akhbar Satar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, anggota Kabinet serta ketua-ketua institusi dan jabatan disaran supaya mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ketelusan dan akauntibiliti.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar turut mencadangkan supaya proses tersebut turut dilakukan pasangan masing-masing dan ahli keluarga terdekat.

Ujarnya, Ketua Pesuruhjaya SPRM pula hendaklah mengisytiharkan harta kepada Parlimen selain menjadikannya akses terbuka secara atas talian.

“Pengisytiharan harta ini juga bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan. Amalan seperti ini juga boleh mengelakkan tuduhan palsu dan meningkatkan kepercayaan orang ramai.

 

“Ia juga boleh meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap Institusi Politik dan Perkhidmatan Awam serta mengelakkan tuduhan palsu.  Di samping itu juga ia sedikit sebanyak boleh membantu mengatasi isu  pertelingkahan kepentingan dan liabiliti.

“Pengisytiharkan harta secara online tidak membawa apa apa bahaya seperti dakwaan pihak pihak tertentu, memandangkan 10 senarai orang terkaya di Malaysia yang nama mereka disiarkan setiap tahun di media juga tidak mengalami sebarang masalah,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Pada ketika ini, anggota Kabinet mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri, manakala ketua di kementerian dan jabatan termasuk Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan anggota tertinggi di dalam Perkhidmatan Awam mengisytiharkan harta mereka kepada Ketua Setiausaha Negara.

Tambahnya, pengisytiharan harta kepada SPRM hendaklah dilakukan sebelum dan selepas memegang sesuatu jawatan dengan analisis nilai bersih dilakukan secara berkala seperti setahun sekali.

Ujarnya, SPRM mempunyai pakar perakaunan forensik dan penyiasat yang boleh meneliti dan memeriksa aset yang diisytiharkan serta mengambil tindakan selanjutnya kepada mereka yang gagal mematuhinya.

Di Filipina, Philippine Centre for Investigative Journalism telah meletakkan pengisytiharan harta Ahli Kongres dan Ahli Kabinet serta pasangan masing masing secara online (atas talian).

Di Thailand, National Counter Corruption Commission menggezetkan pengisytiharan harta pegawai kanan Kerajaan dan pasangan masing masing.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pm-kabinet-ketua-institusi-perlu-isytihar-harta-akhbar-satar-176042

Leave a Response