Undi Esok Penentu Hidup, Mati Agama Islam di Malaysia

share on:

Undi esok penentu hidup, mati agama Islam di Malaysia

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 22 Syaaban 1439H, Selasa – Presiden Majlis Salam Sahabat Semalaysia, Datuk Paduka Rosman Mat Deli membayangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang kurang 12 jam sahaja lagi, bakal menjadi penentu hidup dan mati agama Islam di negara ini.

Beliau yang juga Naib Presiden 1, Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) itu berkata, sekiranya esok pengundi melakukan kesilapan dalam memilih pemimpin untuk mentadbir kawasan masing-masing, maka tiada lagi pembetulan pada masa akan datang.

“Saya mohon agar rakyat mengundi calon yang mampu mengurus tadbir negara kita. Kita tidak mahu Islam diletakkan di tempat yang tiada nilai.

“Selaku orang Melayu yang beragama Islam. Ini survival orang Melayu. Kita jangan sesekali mengundi calon yang tidak berkaliber, calon yang tidak mampu membela Islam, isu-isu Melayu dan institusi kesultanan di negara ini.

“Memang mudah untuk kita memangkah. Kadang- kadang ada pengundi yang memejam mata. Kalau kita hentam kromo, kita akan merugikan bangsa, malah maruah Melayu akan tergadai.

“Kita tengok DAP tidak malu mencerca Islam. Mereka tidak rasa bersalah mencerca Melayu. Tolonglah, jangan bagi peluang kepada DAP,” katanya pada sidang media di pejabat MUAFAKAT di Taman Melawati, hari ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat berkata, penolakan terhadap calon DAP adalah bersebab, bukan kerana emosi semata-mata.

“Kita bukan anti-DAP, suatu ketika dahulu mereka pernah mendakwa ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz, mereka ingin bersama menyokong PAS dalam agenda hudud. Tapi sekarang, DAP adalah orang yang paling anti dengan Islam, malah menghina Tok Guru Abdul Hadi Awang

“Sekarang mereka mendapat sokongan daripada parti-parti yang tidak bersekepala dengan kerajaan. Jelas, mereka begitu seronok melihat orang Melayu bercakaran. Bayangkan, jika mereka menang bagaimana nasib kita, nasib Mahkamah Syariah, institusi Islam, penguatkuasa agama, kedudukan sultan, ketua agama dan boleh kata semuanya terancam.

“Sebab itulah kita minta pertolongan umat Islam. Jangan tertipu dengan DAP. Mereka akan melancarkan agenda menjatuhkan Islam. Anak-anak bangsa berada dalam keadaan bahaya. Sebab itulah menjadi kewajipan kita mengundi calon Islam berwibawa, kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti,” katanya.

https://www.ismaweb.net/2018/05/08/undi-esok-penentu-hidup-mati-agama-islam-di-malaysia/

Leave a Response