PAS ‘Kingmaker’ PRU14

share on:

 PAS ‘Kingmaker’ PRU14

Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah

Ramai penganalisis politik mengatakan Pas akan kalah dalam PRU14. Malahan ada yang mengatakan Pas akan tercorot dan diketepikan dalam PRU14. Saya bukan ahli Pas atau penyokong Pas. Tetapi saya melihat satu pemikiran yang berbeza dengan aliran penganalisis hari ini.

Contohnya, jika BN dapat 110 kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (Harapan) dapat 82 kerusi Parlimen dan Pas dapat 30 kerusi Parlimen. Maka, Pas adalah kingmaker dalam soal penubuhan kerajaan. Soal 30 kerusi Parlimen untuk Pas mendapatkannya boleh diterima.

Pertama, ahli Pas melebihi 1.3 juta yang merupakan pendaftar pengundi. Jika dianalisis mengandaikan satu ahli Pas mempunyai dua penyokong Pas.

Iaitu sama ada isteri atau suami pasangan tersebut bersama dengan seorang anak dewasanya atau rakan taulannya.

Bermakna ada 2.6 juta penyokong Pas secara senyap dan dijumlahkan bersama ahli Pas maka jawapannya adalah 3.9 juta pengundi Pas tanpa mengira ahli komponen parti Gagasan Sejahtera.

Mengikut daftar pemilih suku ke-4 tahun 2017 yang menyenaraikan 14,940,624 pengundi akan digunakan pada PRU14 melibatkan 7,557,187 pengundi wanita (50.58 peratus) dan 7,383,437 pengundi lelaki (49.42 peratus).

Ini bermakna terdapat 14.9 juta pengundi dan kita tolak 15 peratus yang tidak datang mengundi iaitu 2.235 juta pengundi.

Keseluruhan pengundi yang hadir dalam lingkungan 85 peratus adalah 12.665 juta pengundi. Seramai 3.9 juta pengundi yang dijangka memangkah Pas adalah 30.79 peratus daripada keseluruhan jumlah bilangan pengundi hadir.

Sudah pasti terdapat 20 kerusi Parlimen boleh diperoleh jika 40 peratus hingga 45 peratus pengundi beralih pada Pas dalam PRU14 di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Perak. Dengan andaian 75 peratus hingga 85 peratus pengundi yang hadir mengundi 9 Mei 2018.

Kedua, Pas perlu memperoleh 10 kerusi Parlimen lagi jika 30 peratus hingga 35 peratus pengundi akan beralih kepada Pas iaitu Johor, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Maka yang tinggal adalah 65 peratus hingga 70 peratus yang akan memilih BN, Harapan dan calon bebas. Dengan andaian 75 peratus hingga 85 peratus pengundi yang hadir mengundi 9 Mei ini.

Adalah tidak menghairankan Pas mampu mempertahankan Kelantan dan merampas Kedah dan Terengganu. Malahan menambah penguasaan Dun di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Pahang.

Di Sarawak dan Sabah, Pas akan berjaya menambah bilangan jumlah pengundi berbanding Harapan dan BN. Gerak kerja Pas adalah lebih efektif dalam taktikal walaupun jentera pilihan rayanya dilihat kurang gah berbanding Harapan dan BN.

Ketiga, jika Tsunami Politik Islam berlaku, maka Pas dijangka mempunyai 25 kerusi Parlimen hingga 40 kerusi Parlimen secara puratanya mengikut andaian 3.9 juta mengundi Pas.

Di sini timbulnya kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Harapan dan BN. Jika sokongan undi Cina 70 peratus masih memihak pada Harapan, maka 54 kerusi Parlimen akan beralih pada Harapan. Maka BN tidak mampu menubuhkan kerajaan yang stabil disebabkan hanya mempunyai 120 kerusi Parlimen atau kehilangan kuasa kerajaan di peringkat pusat jika hanya memperoleh 107 kerusi Parlimen jika kerusi Parlimen Sabah merosot.

Di sinilah peranan Pas sebagai kingmaker dalam penubuhan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.

Bukannya bermakna kalah walaupun kerusi yang dimenanginya sedikit. Jika BN mampu menubuhkan kerajaan pada 125 kerusi Parlimen andai kata 60 peratus undi Cina dan 55 peratus undi India memihak pada BN. Tapi peranan suara Pas adalah lebih dominan berbanding Harapan.

BN hanya mampu mendapat 140 kerusi Parlimen dengan faktor kehadiran pengundi berlaku antara 60 peratus hingga 75 peratus dan syarat undi Cina dan India memihak pada BN melebih 60 peratus.

Keempat, jika dilihat situasi politik hari ini, BN khususnya Umno masih berpecah dan lemah terutama di Sabah, Johor, Kedah dan Selangor.

Manakala Harapan masih berpuak dan terdapat perpecahan dalam perebutan kuasa kepimpinan antara kem-kem tertentu.

Dijangka juga ramai calon bebas akan bertanding dan ini hanya memecahkan undi lagi tetapi tidak akan memberikan impak pada Pas.

Manakala Pas pula dilihat lebih stabil dan kuat walaupun bersendirian. Pas berjaya mengembalikan penyokong dan pendukungnya kembali selepas berpisah dengan DAP. Walaupun di luar Pas dilihat lemah tetapi semangat dan kesetiaan kepada parti adalah sangat kuat.

Tidak dinafikan pendukung dan penyokong Pas kini sudah melebar ke ibu kota, bandar metropolitan dan bukan lagi dikenali juara kampung.

Ramai anak muda hari ini khususnya wanita menyertai Pas dan calon wanita Pas turut bertambah. Jangan memandang remeh akan kekuatan Gagasan Sejahtera yang dipimpin Pas. Inilah yang ramai terlupa apabila berbicara mengenai Pas.

 

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/dr-iskandar-hasan-tan-abdullah/pas-kingmaker-pru14-1.831192

 

Leave a Response