MPP Usim Anjur Konvoi Kempen Mahasiswa Turun Undi PRU-14

share on:

MPP Usim Anjur Konvoi Kempen Mahasiswa Turun Undi PRU-14

 

Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Rabu hadapan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menggerakkan kempen Projek Mega PRU-14. Program ini bertujuan untuk mencetuskan satu gerakan kesedaran kepada segenap mahasiswa Usim khususnya untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

Bagi memastikan mesej kesedaran ini sampai kepada warga kampus, konvoi bermotosikal siswa Usim yang disertai kira-kira 300 peserta dengan 150 buah motosikal terlibat mengelilingi kampus pada hari ini. Pelepasan konvoi motosikal ini telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Usim, Nasrul Hakim Ahmad.

Konvoi yang bermula dari Kompleks Sukan Tunku Najihah tersebut melalui jalan utama universiti, fakulti-fakulti dan lokasi tumpuan mahasiswa untuk memastikan objektif kempen agar mahasiswa cakna mengenai PRU dan pentingnya membuang undi tercapai. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan sebelum ini meletakkan sasaran sebanyak 85 peratus membuang undi dalam PRU-14.

“Setiap undi adalah penting dan mahasiswa sebagai golongan muda yang menjadi pewaris dan penentu kepada masa depan negara perlu turun mengundi nanti. Justeru mahasiswa Usim yang telah mendaftar sebagai pengundi dan layak mengundi dalam PRU-14 ini, kami sebagai MPP menyeru mereka menunaikan tanggungjawab ini dan tidak mensia-siakan hak dan nilai undi mereka” ujar Muhammad Faris Abdul Gani selaku Yang Dipertua MPP Usim.

Tambahnya lagi, MPP Usim menyambut baik langkah kerajaan yang menjadikan 9 Mei ini sebagai Hari Kelepasan Am tambahan di seluruh negara. Pada masa yang sama, berterima kasih kepada Pengurusan Universiti kerana bersetuju dengan cadangan MPP untuk memberi pelepasan kuliah pada 8 Mei (Selasa) hadapan. Pelepasan ini pastinya memberi kelegaan dan kesempatan kepada mahasiswa Usim untuk pulang ke kampung bagi menjalankan tanggungjawab mereka pada negara.

Program susulan Projek Mega PRU-14 oleh MPP Usim selepas kejayaan penganjuran konvoi motosikal pada hari ini ialah mengadakan Himpunan Mahasiswa Turun Undi di Kompleks Islam Tuanku Muhriz pada Jumaat ini selepas Solat Jumaat yang akan turut disertai oleh Naib Canselor Usim.

SPR akan menggunakan daftar pemilih Suku Tahun Keempat 2017 dalam PRU kali ini yang menyenaraikan 14,940,627 pemilih berdaftar. Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Leave a Response