Warga Tua Cedera ditolak Dari Atas Pentas

share on:

Warga Tua Cedera ditolak Dari Atas Pentas

 

BATU PAHAT: Seorang penyokong Barisan Nasional (BN) cedera selepas jatuh ditolak dari atas pentas kempen dan ditumbuk seorang penyokong pembangkang dipercayai akibat salah faham dalam kejadian di Dataran Yong Peng, Batu Pahat, Johor, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi, penyokong BN, Chen Fang-Hui, 60-an, cedera di dada dan kaki berikutan ditolak dari pentas sebelum ditumbuk di bahagian dada.

Difahamkan, pergaduhan tercetus akibat salah faham dan provokasi antara penyokong BN dan pembangkang berikutan masalah pemasangan bendera membabitkan kedua-dua parti.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa bertindak mencabut bendera parti pembangkang yang berada berhampiran pentas ketika calon Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sedang berucap.

“Akibat dari tindakan itu, berlaku salah faham sebelum mangsa ditolak dan terjatuh dari atas pentas ceramah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Wahib berkata, mangsa kemudian dibawa oleh orang awam ke sebuah klinik oleh penyokong MCA untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kedua-dua lelaki berkenaan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian.

“Setakat ini keadaan terkawal dan polis akan terus memantau lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong yang berkongsi kejadian itu dalam Facebook rasminya berkata, beliau kecewa apabila suasana kempen yang tenang dicemari keganasan pihak pembangkang.

Katanya, tidak kira apa juga rasa tidak puas hati mana-mana pihak, ia tidak boleh diselesaikan menerusi keganasan.

“Ketika kejadian saya sedang berucap di pentas sebelum tiba-tiba timbul kekecohan di belakang pentas dan ternampak mangsa ditolak dari atas pentas serta ditumbuk.

“Saya difahamkan masalah bermula disebabkan bendera parti tetapi adakah wajar seorang warga tua diperlakukan sedemikian rupa dengan ganas sehingga cedera.

“Mangsa dihantar mendapatkan rawatan berikutan kecederaan di dada dan kaki, malah disaran menjalani pemeriksaan menyeluruh berikutan jatuh dari pentas, ” katanya.

Difahamkan, pihak Ka Siong akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Leave a Response