Hadi: PAS Tak Boleh Bersama Dacing Yang Senget Demi Selamatkan Negara

share on:

Hadi: PAS Tak Boleh Bersama Dacing Yang Senget Demi Selamatkan Negara

Oleh: Adila Ramzi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbaru beliau menyatakan bahawa dalam PRU 14, PAS meletakkan calon dengan jumlah yang boleh memerintah negara bersama Islam dengan wadah Gagasan Sejahtera (GAGASAN).

Hal itu katanya berikutan terdapat kalangan yang berteori termasuk golongan bertaraf pemikir, pengamal politik, pengkaji dan ada yang bertaraf Professor Sains Politik berpandangan bahawa perubahan politik Malaysia secara mudah boleh berlaku sekiranya pertandingan dua penjuru.

Rata-rata menyalahkan PAS menjadi punca kepada berlakunya persaingan tiga penjuru dalam PRU 14 kali ini.

Walaubagaimanapun, beliau menepis teori yang hanya boleh diterima oleh Melayu mudah lupa, nyanyuk dan bertaraf mentah ini.

Jelas beliau, PAS bukan parti serpihan kalangan yang tidak berpuas hati dengan parti asal yang melompat gopoh berkonsepkan ‘political animal’.

“PAS bersama Islamnya boleh menjadi tangga kejayaan menegakkan Islam secara bersendirian, bukannya menjadi anak tangga untuk dipijak atau sekadar menjadi tempat bertenggek kepada yang mahu ke atas semata-mata. ”

“PAS tetap makin subur dan kuat tanpa boleh dihakiskan oleh sebab keputusan pilihan raya yang tidak berpihak kepadanya atau tekanan yang menghalang perjuangannya,”tambah beliau.

Berhubung kerjasama PAS dengan PH dan BN pula, presiden PAS menegaskan PAS tidak akan menggadaikan prinsip Islamnya untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang memuatkan DAP, Islam Liberal, Kumpulan Anti Al-Quran dan Hadis, dan semua yang suka melompat pagar politik mencapai kejayaan yang mentah.

“Dahulunya PAS pernah mengajar UMNO supaya membubarkan bahtera Perikatan dan kapal layarnya yang bocor sehingga hampir menenggelamkan negara dengan Peristiwa 13 Mei 1969.

“Kini PAS menunggu sejauhmana UMNO dapat membetulkan dacing Barisan Nasional yang kelihatan senget.PAS tidak boleh bersama dacing yang senget itu demi menyelamatkan negara,”ulas beliau.

Leave a Response