Enam pemimpin wanita dipertaruhkan

share on:

Enam pemimpin wanita dipertaruhkan

 

Bendahari Barisan Nasional (BN) Bahagian Jerantut, Datuk Natalie Lim Chong Ly antara enam calon wanita yang diketengahkan untuk bertan­ding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Chong Ly, 39, yang dinamakan sebagai calon di DUN Damak menggantikan penyandang kerusi itu, Datuk Lau Lee mengucapkan teri­ma kasih kepada kepemimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan dan berazam memberi usaha terbaik bagi merampas kembali kerusi tersebut.

“Perkara utama saya mahu laksanakan adalah memastikan masyarakat di Damak dapat hidup selesa dengan kemudahan infrastruktur dan membela kebajikan mereka jika diberi peluang menjadi wakil rakyat,” katanya selepas maj­lis pengumuman calon BN negeri oleh Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin yang dicalonkan bagi penggal ketiga di Kuala Sentul bersyukur dengan pemilihan tersebut.

“Saya insaf, ia satu tanggungjawab yang besar untuk sekali lagi membawa kemenangan kepada BN,” ujarnya.

Bagi calon DUN Luit, Nurhidayah Shahaimi, beliau tidak menjadikan keadaannya yang masih berada dalam keadaan pantang bersalin sebagai hala­ngan untuk menjalankan kempen bagi meraih sokongan pengundi.

“Gerak kerja sudah dirancang lebih awal dan berjalan seperti yang sudah ditetapkan bagi memastikan BN terus mengekalkan kemenangan di kawasan ber­kenaan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang dicalonkan bertanding di Parlimen Raub menyifatkan kawasan berkenaan bukan asing buat dirinya.

Malah, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara bagi dua penggal itu berkata, kariernya dalam politik mula ‘mekar’ di Parlimen tersebut selepas menyertai MCA sebagai belia di Raub.

Dalam pada itu, calon muda yang dipertaruhkan di DUN Te­runtum, Tee Choon Ser, 37, berkata, dia akan memikul tanggungjawab dengan sebaik-baiknya bagi memastikan kemenangan BN.

“Pengalaman di pusat khidmat BN sejak 2004 pasti membantu saya untuk menjalankan gerak kerja lebih tersusun kali ini,” katanya.

 

Leave a Response