Ketahui Lebih Lanjut

PRU-14 penentu hala tuju negara – Mahdzir

share on:

 

PRU-14 penentu hala tuju negara – Mahdzir

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menentukan hala tuju negara iaitu sama ada dasar Perlembagaan sedia ada diteruskan atau dasar Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP dilaksanakan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, oleh sebab itu, PRU-14 boleh disifatkan amat genting dan tidak sepatutnya menjadi agenda berbentuk peribadi individu tertentu.

“Ini pilihan raya umum yang genting, bukan lagi soal individu tetapi soal kuasa yang akan menentukan dasar negara. Sekarang ini dasar yang hendak dibawa pihak satu lagi (pembangkang) ialah dasar kesamarataan.

“Kita pula masih membawa dasar berasaskan Perlembagaan negara yang mana memberi keistimewaan kepada kaum bumiputera tanpa menganiaya dan mengetepikan siapa-siapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pecah tanah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Tanah Merah di Bechah Perahu, Manal 1 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Da­tuk Seri Alias Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Mahdzir dalam pada itu berkata, berdasarkan sejarah, DAP di­wujudkan selepas Singapura dibawa keluar dari Malaysia dan parti itu tidak pernah putus asa memperjuangkan konsep kesamarataan yang mengetepikan hak bumiputera.

“Sekarang Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama-sama mereka, untuk memperjuangkan agenda tersebut yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara,” kata­nya.

Bercakap mengenai SBPI Tanah Merah, beliau berkata, sekolah tersebut bernilai RM65.5 juta dan merupakan yang pertama di ne­geri ini dengan pembinaan dijadualkan bermula hujung tahun ini.

“Kementerian amat peka dan berusaha memenuhi keperluan untuk membina sekolah berasrama penuh. Dengan terbinanya SBPI Tanah Merah, kita harap dapat mewujudkan peluang kepada pelajar berpotensi mendapat pendidikan teratur dan sempurna,” katanya.

Tags:

Leave a Response