Ketahui Lebih Lanjut

Amal sikap berlapang dada walaupun gagal jadi calon – Hishammuddin

share on:

Amal sikap berlapang dada walaupun gagal jadi calon – Hishammuddin

Ahli dan pemimpin Barisan Nasional (BN) di seluruh negara wajar mencontohi sikap penyandang atau individu yang akur dan mengamalkan sikap berlapang dada meskipun gagal menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dalam suasana getir sekarang, sikap mengutamakan parti melebihi kepentingan diri seperti itu perlu diteruskan bagi memberi kemenangan kepada BN.

“Selepas pengumuman calon di Kelantan, saya melihat suasana luar biasa di negeri ini. Semua ahli cukup bersemangat melihat barisan calon yang mantap.

“Saya memantau perkara ini dengan dekat dan kagum melihat suasana cukup terkawal. Sedih dan tidak puas hati (tidak dicalon) memang ada, tetapi tidak ada yang mengamalkan sikap marahkan nyamuk kelambu dibakar, tahniah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman.

BN Kelantan mempertaruhkan 30 calon muka baharu serta pemimpin sedia ada pada PRU-14 dalam usaha merampas semula negeri ini daripada Pas.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh sejak 28 tahun lalu, Datuk Nozula Mat Diah bagaimanapun digugurkan.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, PRU-14 bukan pilihan raya biasa kerana akan mencorakkan masa hadapan negara dan rakyat diseru memberi mandat kepada BN bagi membolehkan agenda pembangunan dapat diteruskan.

Katanya, BN merupakan parti yang kekal utuh tanpa persengketaan sesama sendiri meskipun sering dilemparkan pelbagai tohmahan.

“Biarpun sering diserang dengan tuduhan tidak berasas, namun parti masih utuh. Ini kelebihan yang ada pada BN. Situasi ini berbeza dengan pembangkang,” katanya.

Leave a Response