RUU355: PAS Ditipu UMNO? Ini Jawapan Hadi

share on:

RUU355: PAS Ditipu UMNO? Ini Jawapan Hadi

Oleh: Muhamad Azri

SHAH ALAM, 12 April – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang komited membawa usul pindaan Akta Mahkamah Syariah atau Akta 355; walaupun tidak dibahaskan oleh kerajaan sebelum pembubaran Parlimen Sabtu lalu.

PAS percaya usul itu tetap akan dibahaskan setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) dan dibawa ke Dewan Rakyat.

“Kita telah berjaya peringkat yang pertama, usul ini akan terus letak di situ.

“Parlimen yang akan datang ini boleh kita sambung lagi, kalau mereka jadi ahli Parlimen dan menang lagi,” katanya.

Tambah beliau, usul tersebut merupakan satu kejayaan awal untuk menimbulkan kesedaran di kalangan orang Islam berkenaan penguatkuasaan kanun syariah Islam tanpa melibatkan diskriminasi dari golongan bukan Islam.

“Usul ini berkaitan dengan syariah Islam.

“Mengikut perlembagaan, bidang kuasa syariah Islam terhadap orang Islam sahaja.

“Sepatutnya orang bukan Islam tak campur tangan,” kata beliau yang menyatakan juga masalah DAP yang mahu mencampuri Akta ini dan menyebabkan PAS tidak bersama mereka kerana tidak menghormati kerjasama dalam Pakatan Rakyat sebelum itu.

Sementara itu, PAS tidak berasa ditipu oleh kerajaan kerana terikat dengan peraturan Parlimen yang mengutamakan agenda kerajaan dahulu.

“Kita juga tidak rasa tertipu.

“Itu tidak timbul kerana sudah tertulis dalam agenda Dewan Rakyat, cuma tunggu masa sahaja,” katanya pada sidang media selepas program Mega Town Hall.

Leave a Response