Antara Kerja Dan Mengundi: Apa Hak Anda?

share on:

Antara Kerja Dan Mengundi: Apa Hak Anda?

Jika majikan anda bijak dan mudah memahami kepentingan mengundi, maka anda tidak ada masalah untuk melaksanakan tanggung jawab dan hak sebagai pengundi. Mereka akan benarkan anda mengundi tanpa mengira di mana anda mengundi.

Namun, tidak mustahil ada majikan yang enggan memberikan kelonggaran kepada pengundi yang terpaksa mengambil cuti sehari atau dua hari kerana ingin mengundi di tempat asal atau di mana-mana kawasan jauh dari tempat mereka mencari rezeki.

Majikan begini mungkin mengambil sikap negatif dengan menyalahkan pekerja yang terlibat kerana memilih untuk mengundi di tempat yang jauh dari tempat kerjanya.

Kecenderungan ini boleh dihidu dari kenyataan Datuk Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) semalam. Beliau dilaporkan berkata, masalah lokasi pengundian jauh di negeri asal bukanlah bebanan di pihak majikan kerana sebagai pengundi yang bertanggungjawab, pekerja seharusnya mengemas kini lokasi tempat pengundian berdasarkan alamat tempat tinggal terkini.

Perlu difahami bahawa Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memberikan hak kepada pengundi untuk mengundi di mana-mana bahagian pilihan raya di mana dia didaftarkan. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pilihan raya tidak mewajibkan pengundi untuk mengemaskini tempat mengundi mengikut tempat tinggal sebenar mereka.

Kebebasan yang diberikan ini menjadikan sebahagian pengundi lebih selesa mengekalkan lokasi pengundian mereka di tempat asal masing-masing. Sikap ini mungkin kerana mereka merasakan bahawa undi mereka lebih diperlukan untuk menentukan nasib tempat asal berbanding tempat baru.

Mungkin mereka ingin memastikan ibu bapa mereka mendapat wakil rakyat dan kerajaan negeri yang terbaik. Mungkin juga mereka menganggap tempat kerja mereka sekarang hanyalah lokasi sementara, dan mereka akan kembali semula menetap di kampung. Atau, tidak mustahil juga pilihan itu dibuat kerana mereka ingin menemani ibu bapa yang uzur untuk melaksanakan tanggung jawab sebagai pengundi.

Walau apa alasan sekali pun, undang-undang tidak pernah menghalang mereka untuk kekal mengundi di tempat asal masing-masing. Menurut Perlembagaan dan undang-undang pilihan raya, SPR tidak ada hak untuk mengubah tempat mengundi mereka melainkan atas permohonan mereka sendiri. Oleh yang demikian, para pengundi tidak sewajarnya dihukum akibat kelonggaran yang wujud ini.

Sebenarnya, dilema yang berlaku antara majikan dan pekerja ini berpunca dari pemilihan hari mengundi oleh SPR. Badan itu sepatutnya menetapkan tarikh mengundi dengan mengambilkira realiti yang berlaku.

Memilih hari Rabu sebagai hari membuang undi adalah satu langkah yang merendahkan wibawa SPR. Jika ingin mengelakkan hujung minggu sekali pun, SPR boleh memilih hari Isnin misalnya bagi mengurangkan dilema para pekerja yang terpaksa bermusafir jauh bagi menjalankan hak sebagai pengundi.

Jika SPR beralasan bahawa pilihan hari Rabu bertujuan untuk ‘mengajar’ pengundi yang tidak mengemaskini tempat mengundi, maka ia juga satu langkah yang memalukan.

Jika kerajaan dan SPR benar-benar serius ingin melaksanakan dasar pengundian berdasarkan tempat kediaman sebenar, tindakan yang patut dibuat ialah dengan meminda undang-undang dengan mewajibkan pendaftaran pengundi mengikut alamat tempat tinggal sebenar.

Bahkan, dengan kecanggihan sistem maklumat kini, SPR boleh menyelaraskan maklumat tempat mengundi berdasarkan alamat pengundi yang ada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara, dengan syarat perubahan itu dibuat tanpa menjejaskan hak demokratik pengundi. Semuanya ini adalah tanggungjawab kerajaan. Rakyat, termasuklah para majikan dan pekerja tidak sepatutnya dihukum kerana kegagalan kerajaan mewujudkan sistem yang lebih baik.

Tegasnya, setiap pengundi tidak boleh dihalang melaksanakan hak mereka di bawah Perlembagaan untuk turun mengundi. Jika mereka terpaksa bercuti untuk melaksanakan hak ini, maka majikan perlu membenarkannya. Jika ada majikan yang menghalang para pekerja untuk mengundi, maka majikan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia
Kampus Kuala Lumpur
11 April 2108.

Leave a Response