BN Pahang akan lancar manifesto Rabu ini

share on:

BN Pahang akan lancar manifesto Rabu ini

PEKAN – Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mengumumkan pembubaran Dun Pahang ke-13 berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memberi perkenan berhubung perkara itu.

“Saya telah menghadap Pemangku Raja Pahang pada jam 12.30 tengah Hari tadi.. Baginda telah berkenan untuk menurunkan tandatangan memperkenankan.. semua barisan pentadbiran negeri menjunjung kasih kepada tuanku.

“Dokumen akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dun Pahang (Datuk Seri Ishak Muhammad) yang akan menyerahkannya ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Istana Abu Bakar, hari ini.

Turut menghadap Tengku Abdullah ialah Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan semua barisan Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pembubaran itu bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak PRU14.

Dalam pada itu, Adnan berkata, BN Pahang akan mengumumkan manifestonya pada Rabu ini.

Jelasnya, pengumuman itu akan buat di Kompleks Yayasan Pahang di sini.

“Manifesto BN Pahang sudah dihantar ke Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Kita akan membuat pindaan kepada manifesto dengan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat mengikut kemampuan kerajaan negeri,” katanya.

Semalam, Najib mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan PRU14 diadakan pada tarikh yang akan ditentukan SPR.

Justeru, Dun Pahang akan terbubar secara automatik pada 8 April ini jika tidak dibubarkan lebih awal daripada tarikh berkenaan.

Pada PRU13, BN memenangi 30 kerusi, DAP (tujuh) dan PAS (tiga), PKR (dua).

PAS, bagaimanapun kehilangan satu kerusi apabila apabila wakil rakyat Kuala Semantan yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas mengumumkan keluar dari parti itu untuk menyertai Amanah pada 9 September 2015, membolehkan parti itu kini memegang satu kerusi Dun.

Bagi kerusi Parlimen pula, terdapat 14 kawasan Parlimen di Pahang di mana pada PRU13, BN menguasai 10 kerusi, PKR (dua) selain DAP dan Pas masing-masing satu kawasan.

BN mengekalkan status quo komposisi kerusi Parlimen apabila Datuk Hasan Arifin berjaya menewaskan calon Pas, Nazri Ahmad pada pilihan raya kecil (PRK) Rompin pada 5 Mei 2015 dengan majoriti undi 8,895.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam kemalangan helikopter di Semenyih pada 4 April 2015.

Leave a Response