Doula Ambil Alih Peranan Profesional Perubatan

share on:

Doula Ambil Alih Peranan Profesional Perubatan

 

Kehadiran doula sewaktu proses kelahiran di Malaysia boleh menimbulkan masalah, jelas Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dato’ Dr Suhaini Kadiman.

Menurut beliau, peranan doula di Malaysia ini telah melampaui batas sebagai peneman ibu bersalin dan menganggap mereka seolah-oleh mengambil alih peranan menjadi pakar perbidanan, doktor, jururawat dan bidan yang memberi nasihat dan menguruskan proses kelahiran.

“Khidmat nasihat yang mereka berikan, samada berada di sisi pesakit atau melalui aplikasi WhatsApp, telah membahayakan kesihatan dan nyawa ibu dan juga anak, terutamanya dalam kes-kes yang berisiko tinggi.

“Doula juga menganjurkan kelahiran di rumah tanpa kehadiran ahli yang terlatih. Ini adalah satu kaedah proses kelahiran yang tidak selamat.

“Sudah banyak kes yang berakhir dengan kematian dan komplikasi teruk semasa proses bersalin tidak selamat yang dianjurkan oleh mereka ini,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan beliau Sabtu lalu.

Tambah Dr. Suhaini, apa sahaja kaedah yang mereka berikan bagi meng’halal’kan doula tersebut, sebenarnya hanya menafikan kaedah yang sedia ada di premis kesihatan bertauliah samada kerajaan ataupun swasta.

Kesal dengan apa yag berlaku, beliau menegaskan kelahiran selamat adalah kelahiran yang diuruskan oleh individu berkemahiran dan berpengalaman dalam menguruskan kelahiran.

Katanya, kajian jelas menunjukkan kelahiran di rumah atau tidak disambut oleh anggota yang berkemahiran, mempunyai risiko tinggi kematian bayi.

“Terdapat 12 kajian yang membuktikan kelahiran di hospital oleh anggota yang mahir penting demi keselamatan ibu dan anak.

“Manakala 3 kajian lain pula yang seolah-olah menyokong kelahiran di rumah dan menyamakan hasil seperti kelahiran di hospital, adalah dengan syarat bahawa kelahiran di rumah tersebut mestilah di bawah seliaan rapi oleh anggota perbidanan yang terlatih,” ujar Dr. Suhaini.

Beliau dalam masa sama menyeru pihak berwajib supaya mengambil tindakan tegas kepada pihak-pihak tertentu yang dengan sengaja menghasut ibu bapa untuk bersalin secara lotus dan pengamalan tertentu tanpa pengawasan rapi daripada doktor pakar perbidanan bertauliah.

Tags:

Leave a Response